Habib Abu Bakar bin ‘Abdullah al-‘Aththas

Habib Abu Bakar bin ‘Abdullah al-‘Aththas adalah di antara gurunya al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi, Shohibul Mawlid. Habib ‘Ali menceritakan bahawa kali pertama beliau bertemu dengan Habib Abu Bakar al-‘Aththas di Syihr, jantungnya hampir berhenti kerana melihat Habib Abu Bakar diliputi cahaya yang terang menerang. Dengan beliau, Habib ‘Ali sempat mengkhatamkan kitab “ar-Rasyafaat” karya Habib ‘Abdul Rahman bin ‘Abdullah BilFaqih. Habib ‘Ali amat menyanjungi Habib Abu Bakar al-‘Aththas kerana kealiman, kewarakan dan kewalian beliau.

Tersebut dalam “Fawaaidul Mukhtaarah li Saaliki Thoriiqil Aakhirah”, himpunan Ustaz ‘Ali bin Hasan BaHarun (anakanda almarhum Habib Hasan bin Ahmad BaHarun rahimahUllah) daripada pengajaran yang disampaikan oleh guru beliau, al-‘Alim al-‘Allaamah al-Faqih al-Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith hafizahUllah, pada halaman 497 bahawa seseorang telah bertanya kepada al-Habib Abu Bakar bin ‘Abdullah al-‘Aththas rahimahUllah:

“Apakah yang akan diberi kepada orang yang menziarahi kubur seorang wali?” Habib Abu Bakar menjawab: ” Dia akan diberi salah satu dari dua pemberian, yang pertama – setidak-tidaknya – dosa-dosanya diampuni Allah; Dan yang kedua – ini yang tertinggi – dia diberikan martabat wali yang diziarahinya.”