Shalawat‎ > ‎

Dalail Khairat

Ijazah Dalail Khairat dan Syarah Khas Maulidur Rasul

Ijazah Kitab Dalail Khairat Kitab Dalail Khairat adalah sebuah kitab yang sangat istimewa kerana ia mampu menjulang Islam pada kedudukan yang tinggi. Kitab ini menjadi lambang umat Islam mengasihi Nabi saw hingga umat Islam dihormati oleh orang bukan Islam. Dalail Khairat menjadi bukti betapa kita mengasihi Rasulullah saw sebagaimana yang disebut oleh ulama, “Sesiapa yang mengasihi sesuatu maka dia layak menyebut nama kekasihnya”.

Imam Abbas al-Mursi berkata, “Jikalah hilang ingatan aku kepada Rasulullah saw walau dalam sekelip mata maka janganlah mengira aku sebagai umat Islam yang sempurna imannya”. Orang yang sentiasa menghampirkan dengan Nabi saw ketika di dunia akan berada hampir dengan Nabi saw ketika di akhirat kelak. Untuk membolehkan Nabi saw mengenal kita maka ucapkanlah salawat ke atas Nabi saw sebanyak-banyaknya sebab malaikat akan menyampaikan salam kita kepada Rasulullah saw. Nabi saw mempunyai ingatan yang sangat kuat. Baginda saw mempu mengingat ayat al-Quran dengan sekali dengar sahaja maka sudah tentu Nabi saw boleh mengingat nama-nama orang yang mengucap salawat keatasnya. Untuk itu, kita hendaklah sentiasa berusaha memasukkan nama kita dalam senarai orang-orang yang pernah diperdengar atau disampaikan salawat kepada baginda saw.Sebagaimana ibubapa yang mengasihi anak yang rajin menziarahinya atau menghubunginya maka begitulah juga dengan baginda saw. Baginda saw akan mengasihi umatnya yang rajin atau sentiasa bersalawat kepadanya. Tidak sepatutnya kita mempersembahkan amalan buruk kepada Nabi saw sehingga baginda terpaksa beristighfar untuk kita sedangkan kita sepatutnya menjadi kebanggaan Rasulullah saw. 

Rabiah al-Adawiyyah mengerjakan solat sunat sebanyak 1000 rakaat sehari semalam. Bila ditanya kenapa beliau solat sebanyak itu, Rabiah menjawab, “Aku mahu Rasulullah saw berbangga dengan umatnya apabila baginda saw berbual-bual dengan nabi lain. Baginda saw tentu akan bertanya kepada Musa as samada umatnya ada atau tidak yang mampu mengerjakan solat sehingga 1000 rakaat. Jadi aku berusaha hendak memastikan bahawa tiada seorang pun umat Nabi Musa as mampu menandingi umat Nabi Muhammad saw. Tujuanku tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menggembirakan Nabi saw dengan amal ibadah umatnya”. 

Kita hendaklah menggembirakan Nabi saw. Jika kita tidak mampu menggembirakan Nabi saw jangan pula kita membuatkan Nabi saw bersedih. Kita kena faham bahawa hubungan kita dengan Nabi saw tidak terputus. Hubungan roh tidak pernah putus. Para masyaikh mempunyai hubungan khusus dengan Nabi saw seperti bermimpi Nabi saw tatkala perasaan rindu terhadap Nabi saw begitu mencengkam. Perasaan kasih itu kemudiannya akan mendatangkan rasa cemburu dan semangat untuk mempertahankan Nabi saw dan agama Islam. Ada ulama yang memohon dipercepatkan ajal kerana terlalu rindu kepada Nabi saw. 

Para ulama, wali Allah dan sahabat merasakan kematian itu adalah sesuatu perkara yang ringan dan mudah. Mati seumpama hadiah. Ketika dalam keadaan nazak, Bilal al-Habsyi berasa sangat gembira kerana akan berhimpun dengan para kekasihnya iaitu Nabi saw dan para sahabat yang telah mendahuluinya walaupun isterinya merintih kasihan melihat Bilal di ambang maut. Sakaratul maut yang pedih dan sakit itu bertukar menjadi sesuatu yang lazat bagi para aulia kerana tidak sabar hendak berhimpun dengan Rasulullah saw dan para sahabat. 

Kita perlu berusaha mencintai Rasulullah saw supaya kasih itu terpahat dalam benak hati kita. Salah satu cara untuk membenihkan rasa cinta kepada Rasulullah saw ialah dengan memperbanyakkan salawat. Sebab itulah para ulama menyusun pelbagai jenis salawat untuk memupuk rasa cinta kepada Nabi saw secara berterusan. 

Salah satu kitab salawat yang mahsyur ialah Dalail Khairat yang dibaca pada hari ini. Kata Asy-Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Gumhari, dua kitab yang paling mahsyur dibaca selain al-Quran dan Hadith ialah Matan al-Ajrumiyyah[1] dan Dalail Khairat[2]. Kedua-dua kitab ini dibaca oleh orang awam dan khawwas. Pada zaman dahulu, manusia berhimpun membaca kitab Dalail ini. Ada raja yang menulis kitab ini dengan tinta emas dan mengarahkan rakyatnya membaca dan beramal dengan kitab ini. 

Imam al-Jazuli menyusun kitab ini mengikut hari. Dengan cara itu, ia mengajar umat Islam agar berdisiplin membaca salawat setiap hari. Kata Syeikh Abdul Qadir al-Talidi, “Sebelum kemunculan orang Wahhabi, orang ramai berkerumun membaca kitab ini. Bila muncul puak ini, orang mula menjauhi kitab ini”. Ini adalah satu musibah kerana orang tidak mengambil berat tentang bacaan salawat. Kata syeikh, kita kena kuat menganjurkan majlis salawat dan menghimpunkan umat untuk membacanya. Kita kena asaskan majlis salawat sehingga orang berasa lazat mendengarnya. 

Tentang sanad dalam ijazah kitab ini, ahli sufi lebih menggemari dihubungkan kepada sanad yang panjang. Bagi mereka semakin panjang sanad, semakin barokah hubungan dengan rantaian sanad itu kerana mereka dihubungkan dengan ramai periwayat yang alim. Sementara bagi ahli hadith, mereka cenderung kepada sanad yang pendek kerana sanad tersebut lebih diyakini. Syarah khas Maulidur Rasul Yayasan Sofa Kata Hasan ibn Thabit, “Aku hairan melihat ramai orang-orang bijak pandai yang mengengkari majlis maulid. Aku hairan melihat mereka yang ada aqal dan taraf kedudukan yang tinggi dalam bidang keilmuan tetapi gagal melihat kecantikan Rasulullah saw dan tidak berdiri memuliakan Nabi saw. Sayyid Abbas Alawi al-Maliki pernah menjadi duta membina kubah Sakhra di Palestin. Ditaqdirkan Allah, beliau berpeluang menyaksikan sambutan Maulid yang diadakan secara besar-besaran kerana pada masa itu bulan Islam adalah bulan Rabiul Awwal. Dalam satu majlis maulid yang dihadirinya, beliau melihat ada seorang lelaki berdiri dari mula sehingga habis bacaan maulid. Maulid yang dibaca ialah Maulid Barzanji. Sayyid Abbas berasa hairan melihat perbuatan lelaki itu lalu dia bertanya setelah selesai majlis. Kata lelaki itu, “Sebelum ini, aku tergolong dalam kelompok orang yang mengengkari amalan maulid. Sehinggalah pada satu malam, aku bermimpi berjumpa Nabi saw. Dalam satu kumpulan maulid, semua ahli kumpulan itu berdiri menyambut Nabi saw sebaliknya aku menjadi lumpuh. Nabi saw berkata kepadaku, “Engkau lumpuh sebab tidak berdiri menghormati aku.” Dengan taqdir Allah, apabila aku bangun pagi, aku tidak dapat menggerakkan kakiku. Puas aku berubat ke sana sini tetapi tidak berhasil. Sehinggalah pada satu hari, aku bernazar sekiranya aku pulih dari penyakit lumpuh ini maka aku akan berdiri dari awal maulid hingga selesai. Pada sebelah malamnya, aku bermimpi bertemu Nabi saw. Dalam mimpi itu, Nabi saw menyapu kakiku yang telah lumpuh. Esok pagi dengan taqdir Allah, kakiku boleh bergerak semula. Semenjak dari itu, aku tidak lupa menunaikan nazarku apabila menghadiri majlis maulid”. 

Ketahuilah bahawa Rasulullah saw adalah cahaya. Sebab itulah jasad Rasulullah saw tidak mempunyai bayang. Imam as-Suyuti menyebut bahawa Rasulullah adalah cahaya. Bahkan Nabi saw memohon kepada Allah Ta’ala, “Jadikanlah aku cahaya, Ya Allah”. Apapun hakikat kenabian cahaya Rasulullah saw terlalu luas untuk dimengerti oleh umatnya. Atas sebab itulah Imam Akbar, Ibn Arabi berkata, “Sesungguhnya pengetahuan aku terhadap cahaya Rasulullah saw hanyalah sebesar lubang jarum sahaja. Itu sahajalah makrifah yang dikurniakan kepada aku”
Comments