Pesan Syaikhul Qurra’, Al-‘Allaamah Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih As-Syami حفظه الله تعالى (Ulama' Besar Syria & Pemegang Sanad Al-Quran Tertinggi Di Dunia) & diterjemah oleh Al-Fadhil Ustaz Nazmi Karim حفظه الله di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang (15 Januari 2018, hari Isnin):
Kepada para penuntut ilmu, saya dahulu juga belajar macam kalian.. Zaman saya dahulu, saya belajar dalam keadaan yang susah (Syeikh masa zaman belajar dulu, beliau buat dua kerja iaitu belajar & bekerja.. Dan Syeikh bekerja di Kilang Percetakan Al-Hashimiyyah..) Ditakdirkan Allah سبحانه وتعالى, saya sempat berjumpa & bertalaqqi bersama dengan seorang Syaikhul Qurra’ pada zaman itu yang bernama Syeikh Husain Khattab رحمه الله تعالى.. Dan alhamdulillah, kurniaan Allah kepada saya masa itu, kitab yang mula-mula sekali saya menghafal ialah Kitab Nihayah At-Tadrib iaitu Matan kepada Ghayah At-Taqrib dalam Fiqh As-Syafi’e karangan Al- Imam Abi Syuja’ رحمه الله تعالى..
Kemudiannya Allah Ta’ala mengurniakan himmah kepada saya untuk boleh menghafal Al-Quran dalam tempoh setahun sebulan & seterusnya saya menghafal pula Kitab Matan Al-Fiyyah Ibn Malik.. Kemudiannya saya terus menyambung pengajian saya dalam ilmu Fiqh Imam As-Syafi’e, ilmu Lughoh, ilmu Nahu, ilmu Tasawuf, ilmu Mantiq & sebagainya (Syeikh Kurayyim juga merupakan antara Ulama’ yang pakar dalam ilmu Lughoh)..
Nasihat saya yang pertama untuk para penuntut ilmu ialah IKHLAS.. Semasa kamu belajar, jangan sesekali kita ada niat selain daripada Allah Ta’ala semata-mata.. Jangan kamu niatkan selepas kamu habis belajar, untuk jadi Imam yang bergaji besar, untuk jadi Khatib sebab elaunnya tinggi, mengaji sebab nak jadi Penceramah Glamour di TV atau sebagainya.. Wajib kamu niat mengaji ini hanya kerana Allah Ta’ala sahaja.. Dan bagi kamu yang mengaji agama ini, jangan sesekali terdetik dihati kamu untuk jadi orang yang ‘alim & terkenal supaya orang ramai akan sambut kamu, cium tangan kamu, peluk kamu atau beri laluan kepada kamu, jangan kamu niat macam itu..
Kesemua yang saya katakan tadi, wajib kamu bersihkan daripada lubuk hati kamu supaya kita mengaji ini niat hanya kerana nakkan keredhaan Allah Ta’ala semata-mata.. Jika kalian tidak ikhlas di dalam pengajian, nescaya Allah Ta’ala takkan memuliakan kalian.. Dan saya nasihatkan sekali lagi kepada para penuntut ilmu, kamu mesti IKHLAS dalam pengajian..
Yang keduanya, kamu wajib menjaga solat lima waktu betul-betul, banyakkan zikrullah, banyakkan bertasbih kepada Allah Ta’ala & sentiasalah melazimi serta memelihara amalan-amalan wirid kamu supaya kamu lebih rapat dengan Allah سبحانه وتعالى.. Kepada para penuntut ilmu, ingatlah pesanan ini baik-baik, jika di dalam kelas, kamu belajar Fiqh As-Syafi’e pada hari ini tentang bab Ibadah, berkaitan dengan Solat atau tentang bab-bab lain, sebelum kamu masuk ke dalam kelas, kamu kena mentela’ah @ baca terlebih dahulu berkenaan bab yang akan diajarkan di dalam kelas.. Setelah kamu mendapat gambaran & kefahaman, barulah kamu masuk ke dalam kelas & belajar..
Jika kamu sudah membuat persiapan awal-awal sebelum pengajian, dalam kelas kamu akan mendengar Guru syarahkan tentang bab itu kepada kamu, kemudian ditakdirkan Allah bahawa apa yang kamu fahamkan itu berbetulan dengan apa yang disyarahkan oleh Guru kamu, maka alhamdulillah.. Tapi jikalau apa yang Guru syarahkan kepada kamu itu tidak sama dengan apa yang kita fahami, pada masa itulah kita boleh perbetulkan apa yang kita telah tersalah faham.. Jika subjek yang kita belajar itu kamu tidak faham, maka dengar & fokus betul-betul terhadap apa yang Guru kamu ajarkan supaya kamu dapat beroleh kefahaman yang tepat..
Setelah kamu habis pengajian lalu kamu balik ke rumah atau balik ke asrama, maka buatlah ulangkaji semula (homework) & jangan kamu tutup kitab kamu tanpa berbuat apa-apa bahkan teruskan menghafal ilmu yang kamu dapati pada masa itu juga.. Perkara yang terpenting sekali ialah bagi kamu yang belajar agama ini, kamu mesti ada perasaan yakin (confident) bahawa kamu percaya yang diri kamu sudah betul-betul faham akan ilmu ini.. Jangan sesekali kamu terus mengajar, sebelum kamu pastikan bahawa kamu sudah baca betul-betul, ulangkaji betul-betul, faham betul-betul & sudah hafal betul-betul ilmu tersebut, kemudian barulah kamu boleh mengajar..
Jika begitulah cara pengajian kalian iaitulah buat “homework”, buat ulangkaji, menghafal & fahamkan betul-betul, insyaAllah ilmu itu akan berkekalan di dalam akal kamu walaupun umur kamu sudah mencecah seratus tahun.. Tapi jika kalian belajar sambil lewa, tidak buat “homework”, tidak buat ulangkaji & tidak menghafal, nescaya ilmu itu akan hilang begitu saja..
Carilah kawan-kawan yang boleh berbincang & bermuzakarah dengan kalian supaya kalian boleh buat Muraja’ah dengan kawan-kawan yang sudah betul-betul memahami ilmu tersebut.. Antara syarat untuk kamu mendapat kefahaman di dalam ilmu ialah dikalangan sahabat-sahabat yang bermuraja’ah dengan kamu itu, mestilah kena ada sikap saling sayang-menyayangi diantara satu sama lain..
Kesemua usaha yang kamu buat itu, mestilah niat kerana Allah Ta’ala.. Selagi mana niat kalian itu benar kerana Allah Ta’ala semata-mata, nescaya Allah Ta’ala akan mempermudahkan segala urusan kalian.. Kepada yang belum betulkan niat kamu, bermula detik ini, sekarang ini kamu kena betulkan niat kamu kerana Allah Ta’ala kerana jika kamu sudah betulkan niat kamu kerana Allah Ta’ala, maka Allah Ta’ala akan kurniakan Taufiq kepada kamu, insyaAllah..
Kemudiannya nasihat saya khususnya kepada para Asatizah, para Guru, para Imam & para pendidik, jangan sesekali kalian terus mengajar selagi mana kamu tidak membaca atau mengulangkaji terlebih dahulu.. Jika kalian ingin mengajar kepada masyarakat, jangan kamu sekadar hanya membaca sebuah kitab sahaja, tetapi kalian kena ada rujukan tambahan yang lain supaya ilmu kalian menjadi lebih luas & fikiran kamu tidak sempit.. Pastikan kalian mempunyai rujukan tambahan yang banyak supaya kalian boleh memberi kefahaman kepada diri kalian & kepada masyarakat diluar sana..
Jangan kalian membuat perangai seperti para Asatizah di tempat kami (di Syria) iaitulah ketika waktu belajar, tidak boleh ada soalan, jika nak soal kena tunggu habis waktu belajar dalam tempoh lima minit sahaja.. Para pelajar ini, bila dia terlintas sahaja soalan di dalam kepalanya, dia kena tanya.. Jika dia tidak tanya, nanti dia tidak boleh memberi tumpuan terhadap pengajian tersebut kerana sibuk memikirkan apakah jawapan kepada soalan itu, nak tanya soalan kena tunggu habis pengajian dahulu, akhirnya dia terlupa akan apa yang hendak disoalkan itu..
Kerja mengajarkan ilmu agama ini, mestilah niat kerana Allah Ta’ala & jangan sesekali kalian niatkan untuk mengajar ini kerana nakkan pangkat besar, gaji yang tinggi atau balasan yang lain.. Jika kamu adalah Imam ataupun Khatib yang duduk dihadapan Mihrab manakala dibelakang kamu adanya ratusan Jemaah, ketika kamu menjadi Imam, hati kamu hendaklah betul-betul niat kerana Allah Ta’ala sahaja.. Sebab itu tempat kamu duduk itu dinamakan Mihrab yang diambil daripada perkataan حرب yang bererti memerangi.. Apabila kalian berada di Mihrab, kalian sebagai Ketua (Imam) wajib memerangi Syaitan bagi pihak diri kalian & bagi pihak seluruh para jema’ah dibelakang kalian..
Selagimana kuatnya hubungan kalian dengan Allah سبحانه وتعالى, maka kedudukan kalian sebagai Imam itu akan semakin sempurna.. Kalian semua sudah sedia maklum, kalian adalah bermazhab Syafi’e (bahkan Syeikh Kurayyim juga merupakan bekas Mufti Mazhab Syafi’e di Damsyik, Syria suatu ketika dahulu), maka tidak sah solat kalian kecuali kalian yakni Imam & Makmum kena baca Surah Al-Fatihah..
Berbeza pula dengan pandangan Al-Imam Abu Hanifah رحمه الله تعالى yang berpendapat bahawa, jika kita mengikut Imam di dalam Solat, maka kita tidak perlu membaca Surah Al-Fatihah kerana Imam itu sudah mewakili bacaan Surah Al-Fatihah bagi diri kita.. Kepada yang menjadi Imam, kalian haruslah khusyuk, ikhlas kerana Allah Ta’ala, wajib bagi kalian untuk memperbaiki bacaan Surah Al-Fatihah dari segi makhraj, tajwid & sifat-sifat hurufnya.. Itu semua wajib kalian memperbaikinya kerana kalian sebenarnya memegang tanggungjawab bagi seluruh makmum yang diberada dibelakang kalian..
Begitulah juga apabila kalian dilantik menjadi Khatib diatas mimbar, ada sesetengah Khatib apabila naik sahaja diatas mimbar, dia berasa takjub & bangga dengan dirinya serta merasakan bahawa dirinya paling hebat sekali.. Jangan sesekali jadi begitu, tapi mintalah kepada Allah Ta’ala supaya orang ramai dapat beroleh manfaat daripada setiap perkataan kalian bahkan diri kalian sendiripun dapat manfaat dengan perkataan kalian tersebut.. Saya sendiri menyaksikan bahawa kebangkitan umat Islam di Malaysia, apabila kalian bangkit, maka kalian akan bangkit bersama-sama.. Kebangkitan kalian yakni umat Islam di Malaysia adalah bersama-sama.. Namun, jika kalian jatuh, nescaya kalian akan jatuh bersama-sama.. Oleh kerana itu, siapakah yang lebih berperanan & lebih berpengaruh untuk mengangkat kedudukan umat Islam di Malaysia? Tidak lain tidak bukan, mestilah para ‘Alim Ulama’, para Khatib, para Imam & Guru-Guru yang mengajarkan agama..
Apabila para Khatib bersatu dengan makmumnya, para Imam bersatu dengan makmumnya & Guru-Guru bersatu dengan anak-anak muridnya bahkan keseluruhan masyarakat bersatu dengan para ‘Alim Ulama’nya sehingga menjadi satu kelompok besar yang sangat kukuh, nescaya umat Islam di Malaysia ini akan menjadi Ketua kepada seluruh umat Islam di seantero dunia ini, insyaAllah.. Aamin.. Apabila saya datang ke sesebuah negara & saya lihat orang-orangnya sangat baik, orang yang soleh & orang yang Siddiq, maka apakah rahsianya?
Rahsianya adalah para Khatibnya adalah orang yang baik, para Imamnya adalah orang yang baik, pemimpin masyarakatnya adalah orang yang baik & para Ulama’nya adalah orang yang baik, maka dengan sebab itulah dapat membentuk masyarakatnya menjadi orang yang baik.. Tapi jika sesebuah negara itu masyarakatnya lintang pukang, maksiat bermaharajalela, maka lihatlah siapakah Pemimpinnya, Khatibnya & Imamnya.. Jika pemimpinnya yang jahat, para Khatibnya yang jahat & para Imamnya yang jahat, maka dengan sebab itu lahirlah masyarakat yang kacau bilau..
Maka kalian sebagai para Asatizah, para Khatib, para Imam & para Guru, wajib memahami Bahasa ‘Arab.. Menjadi satu AIB yang amat besar pada kalian sekiranya kalian pandai mengaji, suara sedap, mengahafal 30 juzuk Al-Quran & pandai berceramah tapi tidak reti dan tidak faham Bahasa ‘Arab.. Kalian sebagai orang Islam & orang yang mengajar masyarakat, jika tidak memahami Bahasa ‘Arab, ianya merupakan satu AIB yang besar.. Cuba perhatikan, ada sekolah yang hanya khususkan para pelajarnya untuk bercakap Bahasa Arab sahaja bahkan ada juga sekolah yang khususkan kepada para pelajarnya untuk bercakap Bahasa Inggeris sahaja.. Maka pastikan sekolah-sekolah kalian untuk mengkhususkan Bahasa ‘Arab kepada para pelajar kalian.. Oleh kerana itu, fahami & pelajarilah Bahasa ‘Arab sebelum kalian keluar untuk mengajar kepada masyarakat sekeliling..
Moga bermanfaat..
سلسلة الحديثية الفلفلانية
Jom Subscribe Telegram Channel
@MajlisTaalimPPDHPP
https://t.me/MajlisTaalimPPDHPP
LiKe & SHaRe PaGe Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang
https://www.facebook.com/:-PPDHPP/
♢ LiKe & SHaRe PaGe Majlis Ta'lim Darul Hadis Pulau Pinang
https://www.facebook.com/mtdhpp/
♢ LiKe & SHaRe PaGe Al-Hawaari Resources
https://www.facebook.com/AlHawaariResources/
#RM10Seorang™
#MajlisTaalimPPDHPP
#MisiDanaPembangunanPPDHP