Peperangan Khaibar (samb)
Kubu Al-Zubair Ditawan
Rasulullah s.a.w memimpin pasukan tentera untuk menembusi kubu al-Zubair setelah dua kubu telah berjaya ditawan. Kubu al-Zubair berada di atas bukit dan laluannya agak sukar untuk mendakinya. Kubu ini juga antara yang paling kukuh. Semua tentera Yahudi yang lari dari kubu Naim dan Sa’ab Bin Muaz bertahan di sini. Tentera muslimin telah melakukan beberapa serangan namun agak sukar menembusinya. Seterusnya Baginda mengarahkan dikepung kubu al-Zubair ini. Setelah tiga hari pengepungan, tiba-tiba seorang lelaki Yahudi bernama Ghazzal telah datang bertemu Baginda dan berkata:
“Aku tahu kubu ini penuh dengan senjata, bekalan makanan dan harta.”
Berkata Baginda: “Adakah kamu datang untuk menakutkan kami?” Allah telah menjanjikan kepadaku kejayaan menawan Khaibar.”
Berkata Yahudi tersebut, “Aku tahu memang sudah ada dalam kitab kami bahawa kamu akan membuka Khaibar.”
Berkata Baginda, “Kalau begitu apa tujuan kamu.?”
Maka dijawab oleh lelaki Yahudi itu, “Aku mohon jaminan keselamatan kepadaku, isteri dan anak-anakku serta ahli keluarga ku dan juga harta-harta kami.”
Baginda bersetuju dengan tawaran lelaki Yahudi ini. Kemudian seterusnya berkata lelaki Yahudi ini,
“Wahai Abi al-Qasim kalau kamu kepung, mereka ada sumber air di bawah tanah. Mereka keluar di waktu malam mengambilnya, kemudian balik semula ke kubu mereka. Tidak ada sesuatu pun yang mencemaskan mereka, tetapi kalau kamu menyekat bekalan air mereka pastinya mereka akan melawan.”
Lelaki Yahudi ini memberitahu di mana laluan yang digunakan oleh tentera Yahudi untuk mengambil air iaitu mereka menggunakan satu laluan terowong.
Kemudian Rasulullah s.a.w. pun segera mengarahkan tentera muslimin bertindak menghalang laluan ini kepada mereka. Para Sahabat menutup laluan yang digunakan untuk tentera Yahudi untuk mengambil air. Kini tentera Yahudi sudah tidak dapat mengambil air lagi. Keadaan amat menyulitkan mereka maka sekarang mereka tidak mempunyai pilihan lagi melainkan bertindak balas dengan keluar dan berperang habis-habisan menyerang tentera muslimin.
Pertempuran menjadi agak sengit, tentera muslimin terus bertahan dan mengasak tentera Yahudi Khaibar hingga ke kubu al Zubair. Akhirnya tentera muslimin menguasai kubu al-Zubair sehingga gugur syahid beberapa tentera muslimin dan di pihak tentera Yahudi pula sepuluh orang telah kecundang.
Keadaan tentera Yahudi makin parah kini kerana kesemua kubu yang berada di kawasan Nataq telah dikuasai oleh tentera muslimin. Misi seterusnya adalah Baginda dan tentera muslimin menuju ke kawasan al-Syaq. Apa yang berlaku?
Bersambung esok.....Insya Allah.
Ust. Sabir