Pemimpin Quraisy yang masih waras dan sihat akalnya melihat kesengsaraan sahabat-sahabat dan jiran mereka dari kalangan Bani Hashim dan Bani Mutalib serta yang memilih Islam dianiaya dengan begitu rupa adalah perbuatan yang zalim. Seorang dari mereka yang prihatin adalah Hisham bin Amru (dari kabilah Bani Amir bin Luaiy). Beliau menjadi orang pertama yang berani menzahirkan hasrat agar perjanjian yang tidak betul ini hendaklah dimansuhkan. Malah beliau adalah antara orang yang sering menyeludup barang makanan sejak berlakunya pemulauan terhadap Bani Hashim dan Bani Mutalib pada waktu malam untuk diberikan kepada kaum kerabatnya serta mereka yang bersama Rasulullah.
Pada satu hari Hisham bin Amru telah mengunjungi secara diam-diam ke rumah Zuhair bin Abi Umayyah (dari kabilah bani Makhzum) untuk menyampaikan hasratnya agar beliau menyokongnya untuk membatalkan piagam Mekah yang menindas dan zalim itu. Berlaku dialog antara mereka berdua membincangkan untuk membatalkan perjanjian itu,
Berkata Hisyam, “wahai Zuhair, Adakah engkau redha makan dan minum sedang bapa-bapa saudara sebelah ibumu sedang menderita?”
Apabila mendengar kata-kata Hisham lalu Zuhair menjawab, “apa yang mampu aku lakukan, sedangkan aku hanya seorang. Sekiranya ada orang lain yang bersamaku, nescaya aku akan membatalkan perjanjian itu.
Hisham berkata, “sebenarnya engkau telah temui orang itu.”
Bertanya Zuhair, “siapa?”
Dijawab oleh Hisham, “aku!”
Mendengar jawapan Hisham lantas Zuhair berkata, “jika begitu, kita perlu mencari seorang lagi.”
Seterusnya Hisham menuju untuk mengunjungi Al Mut’im bin Adi. Hisham telah mengajak untuk mengenangkan keturunan Al Mat’am yang mempunyai rantaian dari keturunan Abdul Manaf. Malah Al Mut’im juga adalah bersaudara dengan Bani Hashim dan Bani Mutalib. Hisham menempelak Al Mat’am kerana bersetuju dengan pemimpin Quraisy dalam isu pemulauan terhadap Bani Hashim dan Bani Mutalib.
Berkata Al Mut’im, “sebenarnya aku juga tidak setuju. Tapi apa yang mampu aku lakukan, aku hanya seorang. Sekiranya ada seorang lagi bersamaku, nescaya aku akan batalkan perjanjian itu.”
Lalu dijawab oleh Hisham, “sebenarnya engkau sudah ada dua orang!”
Lantas ditanya oleh Al Mut’im, “siapa?”
Dijawab oleh Hisham, “aku dan Zuhair.”
Apabila mendengar kata-kata Hisham maka Al Mut’im memberi cadangan, “kalau begitu, kita perlu mencari seorang lagi, orang keempat.”
Kemudian Hisham segera bertemu Abi Al Bukhturi bin Hisham. Dialog yang sama berlaku diantara mereka. Abi Al Bukhturi setuju untuk bersama dengan yang rakan yang lain. Lalu Hisham mencari seorang lagi rakan mereka yang iaitu Zam’ah bin Al Usud. Beliau turut bersetuju dengan dengan cadangan Hisham. Kemudian Hisham memberitahu nama-nama yang akan bersama dengannya yang turut serta akan membatalkan perjanjian zalim itu.
Seterusnya kelima-lima orang ini bertemu di Hajun berbincang dan mencapai satu kata putus untuk memusnahkan serta membatalkan perjanjian pemulauan ke atas Bani Hashim dan Bani Mutalib. Zuhair telah memberi cadangan beliau yang akan memulakan pembicaraan dan kemudian barulah akan disambut dan disokong oleh mereka berlima. Apa reaksi Abu Jahal?
Bersambung esok. Insya Allah
Ustaz Sabir