Abdullah Bin Salam Masuk Islam (samb).
Setelah Abdullah Bin Salam mengikrarkan keislamannya golongan Yahudi mula memusuhi beliau. Sebelum beliau yang disanjung sebagai seorang yang paling alim, warak dan berkeperibadian mulia semuanya diabaikan kerana semata-mata mengakui kebenaran kerasulan Baginda. Sedangkan hujah Abdullah Bin Salam adalah berdasarkan kitab Taurat yang dipegang oleh golongan Yahudi.
Apabila Islam dan Iman menguasai jiwa beliau, maka sentiasalah beliau bersama Baginda dan sering membasahkan lidahnya dengan membaca al Quran yang dahulunya beliau membaca Taurat. Keilmuan beliau memang tiada yang boleh menafikan sebagaimana pernah disebut oleh Mu’az ketika usianya sudah lanjut datanglah Yazid Ibnu Umairah lalu duduk di sisi Mu’az dan menangis. Kemudian ditanya Mu’az,
“Apa yang membuat kamu menangis?”
Dijawab oleh Yazid, “ Aku menangis kerana telah terluput dariku ilmu.”
Lalu dijawab oleh Mu’az, “sesungguhnya ilmu itu tetap ada dan tidak hilang. Tuntutlah ilmu dari empat orang iaitu Abu Darda’, Salman al-Farisi, Abdullah Ibnu Mas’ud dan Abdullah Bin Salam. Rasulullah s.a.w pernah mengatakan Abdullah Bin Salam akan bersama dengan penduduk syurga.”
Selain itu Baginda juga memyebut tentang kemuliaan Abdullah Bin Salam,
“Ada tiga golongan yang akan mendapatkan dua pahala. Pertama, seorang ahlul kitab yang beriman kepada Nabi yang telah diutus kepadanya dan juga beriman kepada Nabi Muhammad. Maka Abdullah bin Salam adalah orang yang paling utama untuk masuk ke dalam hadis ini. Kedua, seorang budak yang melaksanakan kewajipannya kepada Allah Azza wa Jalla dan kewajipan kepada majikannya. Ketiga, seorang lelaki yang memiliki hamba wanita lalu dia mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan mengajarinya dengan pengajaran yang baik lalu memerdekakannya dan menikahinya maka baginya dua pahala.” (HR. Bukhari)
Baginda juga menyebut kepada para sahabat tentang Abdullah Bin Salam yang diakui sebagai ahli syurga.
Sa’ad bin Abi Waqash berkata, “Tidaklah aku mendengar Nabi s.a.w mengatakan kepada seorangpun yang masih hidup bahawa dia adalah penghuni syurga kecuali kepada Abdullah bin Salam.” (HR. Bukhari)
Bahkan al Quran menjelaskan kemuliaan Abdullah Bin Salam lihat firman Allah,
قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ كَانَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَكَفَرْتُمْ بِهِ وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ مِثْلِهِ فَآمَنَ وَاسْتَكْبَرْتُمْ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu jika Al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah dan kamu mengingkarinya, pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil (Abdullah Bin Salam) memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti al-Quran ini, lalu ia percayakan (al-Quran ini dari Allah), sedang kamu dengan sombong angkuh mengingkarinya? (Tidakkah dengan yang demikian kamu bersifat zalim)? Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (yang degil dalam kekufurannya)". (Al Ahqaf 46:10)
Selama berjuang menegakkan Islam beliau telah turut serta dalam penaklukan Bait al-Maqdis (Palestin). Ketika terjadi perselisihan antara Ali dan Muawwiyah, beliau memilih untuk tidak campur dan menjauh dari tempat perselisihan itu. Selama bergaul dengan Rasulullah, beliau telah meriwayatkan lebih kurang 25 hadit.
Menurut al-Imam ad-Dzahaby bahawa para ulama sepakat menerima beliau wafat pada tahun 43 Hijriah di Madinah.
Bersambung esok, insya Allah.
Ust Sabir