Penduduk Luar Mekah Menganut Islam
Abu Zar al-Ghifari
Nama lengkapnya ialah Jundub bin Junadah Al Ghifari dan lebih dikenali dengan gelaran Abu Dzar. Abu Dzar merupakan termasuk juga dari golongan Assabiqunal Awwalun (Sahabat yang paling awal Islam). Al Ghifari adalah merupakan gelaran bagi Abu Dzar kerana ia berasal dari daerah Ghifar. Ghifar merupakan salah satu nama kabilah yang hebat dalam permusafiran perjalanan yang jaraknya sangat jauh dan tiada tandingannya serta keberanian meredah perjalanan pada waktu malam. Kabilah al Ghifari ini sangat tegas, keras dan tidak pernah gentar dengan apa-apa ancaman.
Abu Dzar telah mendengar perkhabaran tentang kebangkitan seorang Rasul di Mekah. Beliau merasa tidak tenteram selagi tidak mendengar dari sumber yang benar-benar sahih dan menyakinkannya. Menurut riwayat Imam Bukhari dari Ibnu Abbas berkata, Abu Dzar telah menceritakan dengan katanya,
“Aku adalah seorang dari kabilah Bani Ghafir dan telah sampai kepada kami, telah muncul di Mekah seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Nabi. Maka dengan itu aku berkata kepada saudaraku, cuba kamu pergi tengok lelaki itu kemudian cuba kamu berbicara dengannya kemudian kamu kembali dan ceritakan apa yang kamu dapati.”
Dengan itu beliau pun bertolak ke sana dan bertemu dengan Rasulullah kemudian pulang segera. Tanya Abu Dzar kepada saudaranya itu,
“Apa yang kamu dapati?
Jawab saudaranya, “demi Allah sesungguhnya aku telah mendapati beliau adalah seorang lelaki yang sentiasa menyuruh manusia melakukan kebaikan semata-mata serta melarang dari melakukan kejahatan,
Berkata Abu Dzar, “ceritamu itu tidak memuaskan. Kemudian aku mengambil seuncang air dan tongkat untuk bermusafir ke Mekah. Apabila aku tiba di sana, sebenarnya aku pun tidaklah mengenali orangnya (Rasulullah), namun aku tidak suka bertanya kepada sesiapa. Aku membuat perancangan iaitu memadai dengan minum air zam-zam dan duduk di dalam masjid (mencari Rasul tersebut)
Berkata Abu Dzar lagi, “Ali bin Abi Talib pun lalu di hadapanku dan beliau berkata kepadaku, “Tuan ini seperti orang yang datang berdagang di sini.”
Jawabku, “ ya memang benar.”
Kemudian berkata Ali, “marilah ke rumahku.”
Lalu aku pun turut sahaja bersama-sama beliau tanpa beliau bertanya khabar mengenai diriku dan aku pun seperti itu juga tanpa bertanya kepadanya sesuatu serta tidak pula menceritakan hasratku yang sebenar kenapa datang ke Mekah ini. Bila hampir waktu subuh aku pun ke masjid untuk bertanya mengenai diri nabi Allah dan tidak seorang pun di situ, menceritakan kepada aku mengenainya,
Kemudian apabila Ali melalui di hadapanku, beliau berkata, “Wahai saudara! masih belum menemui tempat yang hendak dituju itu.
Jawabku, “masih belum lagi.”
Ali pun berkata, “marilah ikut aku, apa urusan kamu yang sebenar? Dan apakah yang membawa tuan datang ke negeri ini?”
Aku berkata kepada Ali, “sekiranya tuan boleh rahsiakan urusan aku ini bolehlah aku ceritakan.”
Jawab Ali, “aku cuba.”
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir