Strategi Tentera Islam Menghadapi Peperangan Uhud
Ketika Baginda berada di Quba seorang utusan yang telah dikirimkan oleh Abbas Bin Abdul Mutalib telah membawa berita kepada Rasulullah s.a.w tentang pergerakan tentera Quraisy. Terdapat perbezaan pandangan bilakah Abbas masuk Islam, ada yang mengatakan sebelum Hijrah namun menyembunyikan keIslamannya dan ada pandangan yang mengatakan selepas menjadi tawanan Badar. Namun yang lebih utama dalam mempersiapkan diri dalam Perang Uhud, Abbas sudah menjadi seorang muslim.
Jarak jangkaan tentera Quraisy akan tiba dianggarkan adalah sekitar 3 hari. Rasulullah s.a.w yang telah menerima risalah dari utusan ini yang diserahkan kepada Ubai Bin Kaab yang menemani Baginda di Quba. Baginda mendengar isi kandungan risaah ini yang dibacakan oleh Ubai Bin Kaab dan mengarahkan agar dirahsiakannya. Seterusnya Baginda segera ke Madinah dan memanggil sidang permesyuaratan syura dari kalangan Muhajirin dan Ansar.
Beberapa orang Sahabat telah mencadangkan agar tentera Islam keluar dari kota Madinah untuk menghadapi musuh. Antara yang mengutarakan cadangan ini adalah Hamzah Bin Abdul Mutalib dan Anas Bin Nadr. Setelah mendengar cadangan para Sahabat, Baginda telah menceritakan mimpinya,
"Demi Allah! Sesungguhnya aku telah bermimpi sesuatu yang baik, aku melihat seekor lembu jantan disembelih, mata pedangku sumbing dan aku memasukkan kedua tanganku ke dalam baju besi". Baginda menafsirkan mimpi tersebut lembu jantan sebagai beberapa orang sahabatnya terbunuh, pedang sumbing sebagai seorang keluarganya dibunuh dan baju besi sebagai "al-Madinah".
Maka berdasarkan mimpi ini Baginda memberi cadangan agar mereka menunggu sehingga tentera yang dipimpin oleh Abu Sufyan sampai ke Madinah. Abdullah Bin Ubai bapa munafik yang mengetuai kaum Khazraj antara yang segera bersetuju dengan cadangan Baginda. Tetapi ianya bukanlah keikhlasan beliau melainkan untuk merosakkan kemenangan Islam.
Namun beberapa orang dari kalangan Sahabat yang tidak sempat mengikuti Perang Badar berharap untuk berjihad dan menghadapi musuh di luar dari kota Madinah. Mereka berkata,
“Wahai Rasulullah, sememangnya kami mengharapkan hari seumpama ini dan kami sentiasa berdoa kepada Allah. Kini Allah telah pun membawa hari itu untuk kami, di mana perjalanannya tidak jauh dari sini, semua ini Allah yang memperdekatkannya, Marilah! Keluarlah wahai Rasulullah untuk bersemuka dengan, musuh Allah dan jangan biarkan mereka melihat kita sebagai orang-orang yang pengecut".
Hamzah Bin Abdul Mutalib antara yang paling bersemangat untuk mengetuai peperangan kali ini. Mendengar sahaja kata-kata para Sahabat maka Baginda telah menyebut,
"Demi Tuhan yang telah menurunkan ke atas ku al-Kitab, aku tidak akan memakan sebarang makanan hinggalah akan membelasah mereka dengan pedangku ini di luar al-Madinah.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir