Baginda dan Pasukan Ketenteraannya (samb)
7. Pada bulan antara Jamadil Awwal dan Jamadil Akhir, Baginda telah memimpin pasukan tentera Muslimin dari golongan Muhajirin berjumlah 150 orang (ada pandangan mengatakan 200 dan 250 orang). Perjalanan ini membawa unta 30 ekor yang bergilir ditunggangi oleh tentera muslimin. Tujuannya bagi menyekat rombongan dari Quraisy yang berdagang ke Syam. Namun apabila Baginda dan tentera Muslimin tiba di tempat Bani Mudlij, mereka telah menghalang Baginda dari menemui rombongan Quraisy bahkan mereka meminta dimeterai perjanjian keamanan dengan Rasulullah s.a.w. Baginda bersetuju dengan perjanjian keamanan dengan Bani Mudlij serta sekutu-sekutu Bani Dhamrah. Peristiwa ini dikenali dengan Ghazwah zul-Asyirah.
8. Pada bulan Rejab tahun ke 2 Hujrah Rasulullah s.a.w telah mengirimkan Abdullah Bin Jahsy al-Asadi ke Nakhlah dengan rombongan kecil iaitu 12 orang dari kalangan Muhajirin. Saad Bin Abi Waqas turut serta dalam rombongan ini. Dalam perjalanan ini unta yang ditunggangi oleh Saad telah hilang menyebabkan beliau dan seorang sahabat lagi iaitu Utbah bin Ghuzwan keluar mencari unta tersebut. Akibatnya mereka berdua telah tertinggal dari kumpulan yang dipimpin oleh Abdullah Bin Jahsy.
Rasulullah s.a.w telah mengirimkan satu surat kepada Abdullah Bin Jahsy sebelum perjalanan dengan perintah tidak membuka surat tersebut melainkan setelah 2 hari perjalanan. Abdullah Bin Jahsy mematuhi perintah Baginda, apabila sudah sampai 2 hari perjalanan maka barulah dibuka surat tersebut dan dibacanya. Kandungan surat tersebut adalah seperti berikut,
"Setelah mana kamu membaca suratku ini teruskan perjalananmu sehingga tiba ke tempat bernama Nakhlah yang terletak di antara Mekah dan al-Taif, kemudian hebdaklah kamu cuba menghalang pergerakan kabilah Quraisy dan mengumpul maklumat mengenainya "
Setelah membaca perintah Baginda itu maka Abdullah Bin Jahsy telah memberi arahan kepada pasukannya. Mereka menuju ke Nakhlah dan dapat melihat rombongan Quraisy yag balik dari Syam. Rombongan Quraisy ini bersama mereka adalah Amru Bin al-Hadrami, al-Hakam Bin Kaisan hamba Bani al- Mughirah, Uthman Bin Abdullah Bin Al-Mughirah dan saudaranya iaitu Naufal.
Abdullah Bin Jahsy telah membuat perancangan menyerang rombongan ini kerana menyangka bulan Rejab telah berakhir. Ini kerana menjadi peraturan diharamkan berperang pada bulan haram termasuk bulan Rejab. Tujuan serangan itu bagi mengelakkan mereka memasuki tanah haram. Pasukan muslimin telah memanah dan kena kepada Amru Bin al-Hadrami menyebabkan beliau terbunuh. Inilah kematian pertama akibat serangan dari kaum muslimin. Manakala Uthman Bin Abdullah dan al-Hakam Bin Kaisan ditawan oleh tentera muslimin. Lalu tawanan dibawa balik ke Madinah.
Tindakan Abdullah adalah satu kesilapan besar kerana sebenarnya serangan yang dilakukan oleh pasukannya masih dalam bulan Rejab yang dimaklumi diharamkan berperang. Apabila mereka tiba di Madinah Baginda tidak gembira dengan tindakan Abdullah Bin Jahsy dan pasukannya. Baginda berkata tidak diberikan arahan disuruh mereka berperang pada bulan haram ini. Akibatnya Baginda menangguhkan keputusan dan mahu melihat reaksi Quraisy atas tindakan yang berlaku. Apakah yang dilakukan oleh Baginda?
Bersambung esok insya Allah.
Ust. Sabir