Rasulullah Berhijrah Ke Madinah (samb)
Setelah menempuh perjalanan yang panjang, pada 8 Rabiul Awal tahun 14 kebangkitan Rasulullah s.a.w. iaitu tahun pertama Hijrah, Baginda telah sampai ke Quba'.
Sementara itu di Madinah setiap hari penduduknya sama ada muslim atau bukan muslim menanti kedatangan Rsulullah s.a.w. Memandangkan Baginda melalui jalan yang bukan jalan yang biasa dilalui oleh kebanyakan orang yang menuju ke Madinah maka sukar bagi mereka mengetahui waktu yang tepat kedatangan Baginda.
Setiap pagi selepas subuh mereka akan menuju ke pintu kota Madinah untuk menunggu kedatangan Baginda sehinggalah matahari terik. Kemudian mereka akan kembali dan datang pula pada petangnya sehinggalah malam. Begitulah rutin setiap hari penduduk Madinah yang muslim termasuk juga golongan Yahudi menant Baginda.
Kedatangan Baginda adalah satu yang ditunggu-tunggu. Sebelum ini mereka telah mendengar cerita tentang Rasul akhir zaman yang akan membawa obor Islam serta cahaya Iman yang akan menyinari bumi Madinah. Segala persiapan untuk menyambut kedatangan Baginda telah dipersiapkan dengan sambutan yang paling meriah.
Pada satu hari seperti mana kebiasaannya penduduk Madinah keluar selepas subuh menanti kedatangan Baginda sehingga waktu teriknya matahari. Kemudian mereka pun kembali ke rumah setelah hampir waktu zohor. Seorang Yahudi yang memanjat pohon tamar masih meninjau-ninjau cuba melihat jika ada sosok tubuh yang memasuki kota Madinah. Kemudian Yahudi ini nampak dari jauh beberapa orang yang berjubah putih menuju ke kota Madinah. Dalam keadaan gembira beliau menjerit kepada penduduk Madinah mengatakan Baginda sedang menuju ke kota Madinah. Terdengar sahaja suara Yahudi ini maka penduduk Madinah keluar segera menuju ke pintu kota untuk menyambut dan melihat Baginda.
Ketika Baginda tiba itu adalah pada hari Isnin, tarikhnya adalah 12 Rabiul Awal. Penduduk Madinah yang tidak pernah melihat Baginda tertanya-tanya mana satukah Rasulullah s.a.w. berbanding Abu Bakar. Malah usia Abu Bakar pula tidak jauh bezanya sekitar 2 tahun lebih muda sahaja jaraknya dengan Baginda.
Perjanjian untuk taat dan mempertahankan Baginda sebagaimana janji yang telah dimeterai semasa perjanjian Aqabah kedua tetap masih segar dan ditepati oleh penduduk Madinah. Maka ketika melihat Baginda mereka ghairah untuk menyatakan masih patuh dan taat dengan perjanjian itu. Sambutan dan gema takbir memenuhi kota Madinah menyambut Baginda.
Menurut Ibn al-Qayyum," kedengaran laungan takbir di rumah Bani Amru bin Auf, seterusnya seluruh kaum muslimin pun melaungkan takbir kegembiraan dengan ketibaan Rasulullah s.a.w. Kesemuanya mereka mengalu-alukan kedatangan Baginda dengan sambutan dan aluan sebagai seorang Nabi. Kemudian kesemua mereka merenung ke muka Rasulullah s.a.w serta melingkungi Baginda dalam suasana diselubungi ketenangan.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir