Baginda menyusun kedudukan pasukan perang kepada beberapa kumpulan. Strategi ini diatur oleh Baginda dengan terperinci sehinggakan setiap penjuru Mekah dikuasai oleh pasukan tentera muslimin. Ketika ini kafir Quraisy masih belum menyedari kedatangan Baginda.
Di bahagian Utara di ketuai oleh Zubair bin al-Awwam dengan membawa bendera Rasulullah s.a.w. Beliau akan memasuki Mekah melalui sebelah atas dengan dipacakkan d tempat bernama al-Hajjun dan menanti kedatangan Baginda.
Di bahagian Selatan di ketuai oleh Khalid bin al-Walid dengan beberapa kabilah iaitu Aslam, Salim, Ghaffar Muzainah, Juhainah dan lain-lain kabilah Arab. Pasukan ini akan memasuki Mekah dari bawah dan Baginda memberi arahan jika ada yang menentang mereka maka bunuhlah sehingga mereka sampai bertemu baginda di al-Safa.
Di bahagian Timur dipimpin oleh Abu Ubaidah al-Jarrah iaitu pasukan yang hanya berjalan kaki dan diminta menuju ke Butul al-Wadi. Mereka juga diminta terus bergerak sehingga bertemu Baginda di Mekah.
Manakala di bahagian Barat pula Baginda telah memilih Saad bin Ubadah dan Ali bin Abi Talib dengan pasukan tenteranya. Kini Mekah sudah dikepung dengan bala tentera Baginda dengan panglima perang yang terbaik di kalangan umat Islam.
Pada masa yang sama Abbas bin Abdul Mutalib dan keluarganya yang telah Islam keluar dari Mekah untuk berhijrah ke Madinah untuk bersama Baginda tanpa beliau mengetahui kedatangan Baginda ke Mekah. Apabila terserempak dengan tentera Islam lalu mereka membawanya bertemu Baginda. Kegembiraan tampak jelas di wajah Baginda melihat kedatangan bapa saudaranya itu. Abbas bin Abdul Mutalib adalah orang terakhir yang berhijrah selepas pembukaan kota Mekah tiada lagi hijrah selepas itu.
Baginda meneruskan perjalanan setelah bertemu Abbas bin Abdul Mutalib yang kemudiannya beliau turut serta mengikut Baginda kembali ke Mekah. Setibanya di satu tempat yang di kenali dengan nama Mar al-Zahran atau di kenali juga sebagai Wadi Fatimah waktu sudah hampir Isya, Baginda mengarahkan didirikan khemah dan menyalakan unggun api. Setiap khemah menyalakan unggun api hinggakan kawasan menjadi terang dan memberi gambaran ramainya tentera yang bersama Baginda. Secara perang sarafnya musuh akan memikirkan banyak kali sebelum berani bertindak.
Pada waktu malam hari Abu Sufian telah bergerak ke pinggir Mekah bagi mencari maklumat. Turut bersamanya adalah Hakim bin Huzam. Budail bin Warqa juga keluar pada malam itu bagi meninjau jika adanya kaum muslimin yang menuju ke Mekah. Tiba-tiba mereka terperanjat melihat jumlah unggun api yang banyak yang tidak pernah dilihat olehnya sebelum ini. Mereka tertanya-tanya siapakah yang datang dengan jumlah yang ramai ini. Jika ini adalah pasukan tentera pastinya tiada siapa yang boleh menghadapinya.
Abu Sufian bertanya kepada Budail bin Warqa, “Siapakah kumpulan ini?”.
Jawab Budail bin Warqa, “Mungkin Bani Khuzaah yang ingin membalas semula serangan kepada Quraisy.”
Kata Abu Sufian, “Tidak mungkin mereka seramai ini.”
Ketika Abu Sufian sedang binggung memikirkannya tiba-tiba muncullah Abbas bin Abdul Mutalib yang telah mengecam suara Abu Sufian. Apa kata Abbas bin Abdul Mutalib kepada Abu Sufian?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir