Berita kewafatan Baginda mulai tersebar di seluruh pelusuk Madinah. Berkata seorang Sahabat iaitu Anas bin Malik: "Tidak pernah aku melihat satu hari lebih ceria dan bercahaya dari hari kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah dan tidak pernah pula aku lihat satu hari yang lebih buruk dan muram dari hari kewafatan Rasulullah s.a.w".
Para Sahabat dalam keadaan tidak menentu mendengar berita sedih ini. Ada yang boleh menerima dengan tenang seperti Abu Bakar As Siddiq ada yang tidak dapat menerimanya seperti Umar al Khattab. Sukar bagi Umar al Khattab menghadapi berita ini lalu beliau menziarahi jenazah Baginda dan berkata,
“Rasulullah tidak wafat Baginda hanya tidak sedar diri sebagaimana Nabi Musa yang tidak sedar diri apabila meminta untuk melihat Zat Allah menyebabkannya jatuh pengsan. Rasulullah akan sedar kembali. Barangsiapa yang berkata Rasulullah telah wafat aku akan memancungnya.”
Ada di kalangan para Sahabat yang turut bersama dengan Umar al Khattab. Keadaan semakin tidak aman kemudiannya berita ini disampaikan kepada Abu Bakar As Siddiq. Beliau segera datang dan terus masuk ke rumah Aisyah untuk menziarahi jenazah Baginda yang sudah ditutup dengan kain. Abu Bakar mengucup dahi Baginda serta berkata,
“Kesejahteraan buat kamu ketika hidup dan mati wahai Rasulullah. Adapun kematian yang Allah tetapkan ke atas mu sudah kamu rasai dan kamu tidak akan mati lagi selepas itu.”
Seterusnya Abu Bakar masuk ke masjid menuju ke tempat Umar al Khattab yang masih dalam keadaan tidak tenang dan tidak boleh menerima kewafatan Rasulullah s.a.w. Abu Bakar kemudiannya menasihati Umar al Khattab agar bertenang dan duduk namun tidak diendahkan olehnya walaupun beberapa kali diulang oleh Abu Bakar. Lalu Abu Bakar naik ke mimbar dan berkata,
“Adapun selepas tahmid dan syukur maka ingin ku sebutkan di sini, sesiapa di antara kamu yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati ".
Kemudian Abu Bakar membacakan ayat al-Quran,
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu). (Surah ali Imran 3:144)
Telah berkata Ibn Abbas: “Demi Allah, pada waktu itu manusia ramai seolah-olah tidak mengetahui (tidak ingat) bahawa Allah telah pun menurunkan ayat ini kecuali setelah Abu Bakar membacanya dengan itu orang ramai pun menerima dan membacanya.”
Manakala berkata Ibn al-Musaiyab: Umar al Khattab telah menyebut: "Demi Allah, sebaik sahaja aku terdengar apa yang diunggapkan oleh Abu Bakar itu, aku terasa kakiku sudah tidak berdaya lagi untuk berdiri, lalu aku jatuh terduduk ke tanah sebaik sahaja mendengar apa yang dibacakan oleh Abu Bakar kerana aku sudah dipastikan dengan kewafatan Rasulullah".
Kemudiannya Umar al-Khattab berpaling melihat para Sahabat yang lain yang berkumpul bersamanya lalu berkata,
“Wahai sahabat-sahabatku sesungguhnya Rasulullah telah wafat.”
Para sahabat kemudiannya menangis dan berada dalam kesedihan yang teramat sangat. Kini semuanya sudah dapat menerima hakikat Baginda sudah wafat dan urusan seterusnya adalah menguruskan jenazah dan di mana jasad Baginda akan dikebumikan.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir