Perjanjian Hudaibiyah (samb)
Rasulullah s.a.w mengambil sikap berhati-hati ketika menuju ke Mekah lalu diutuskan seorang wakil dari kabilah Khuza’ah iaitu Bisyr Bin Sufyan untuk mendapatkan berita mengenai tindakan pihak Quraisy apabila mengetahui mereka dalam perjalanan ke Mekah. Baginda dimaklumkan oleh Bisyr Bin Sufyan,
"Semasa aku dalam perjalanan ke sini aku telah mendapati kabilah Kaab bin Lu'ai telah pun mengumpul orang-orang awam al-Ahabisy di mana mereka berhimpun untuk memerangi Rasulullah s.a.w serta menghalangi dari memasuki Kaabah.”
Kemudian Rasulullah s.a.w bermesyuarat dengan para Sahabat dengan sabdanya, "apakah kamu rasa baik kita serang keluarga mereka yang menolong puak yang menghalang kita, kemudian kita tawan mereka? Sekiranya mereka berdiam, berdiam dengan keadaan marah dan berduka, kalau mereka terlepas lari maka yang ditawan itu Allah mencantas leher mereka atau apakah sahabat sekalian berpendapat kita semua menuju ke Baitullah maka sesiapa halang maka kita peranginya"?
Lalu berkatalah Abu Bakar, "Allah dan Rasulnya lebih mengetahui, kita datang pun memang untuk mengerjakan umrah dan bukannya untuk memerangi sesiapa. Tetapi kalau ada orang yang menghalang kita ke Baitullah al-Haram kita perangilah mereka".
Kemudian dijawab Rasulullah s.a.w, " alangkah kerasnya kaum Quraisy ini mereka tidak akan rugi jika mereka membenarkan aku masuk. Ayuh kita teruskan perjalanan.”
Pihak Quraisy telah bermesyuarat dan keputusannya tidak akan sama sekali membenarkan rombongan kaum muslimin memasuki Mekah. Mereka sanggup menyerang rombongan ini dan telah pun mempersiapkan tentera berjumlah 200 orang dibawah pimpinan Khalid Bin Al Walid. Maka mereka telah bersedia agar Baginda dan para Sahabatnya tidak dapat memasuki Tanah Haram. Jika Baginda dapat masuk juga tidak boleh dilakukan serangan kerana memang sejak dahulu lagi masyarakat Arab sangat menghormati Tanah Haram dan tidak akan berperang didalamnya.
Melihat jalan kebiasaan yang dilalui agak sukar untuk masuk ke Mekah kerana dihalangi oleh tentera Khalid Bin Al Walid, maka Baginda membuat strategi lain dan berkata Baginda, “siapa di kalangan kamu yang boleh menunjukkan jalan yang kita boleh sampai ke belakang tentera Quraisy?”
Kemudian ada seorang lelaki dari suku Aslam bersedia membawa rombongan Baginda melalui jalan lain yang berliku-liku antara batu-batu yang curam dan sangat sukar untuk dilalui. Rombongan Baginda merasa sangat letih menempuh jalan itu. Akhirnya mereka sampai juga ke sebuah jalan yang datar di hujung wadi. Jalan ini berada sebelah kanan yang akhirnya keluar di Tsaniyatul-Mirar iaitu jalan menurun ke Hudaibiyah di sebelah bawah kota Mekah.
Pasukan Quraisy yang dipimpin oleh Khalid Bin Al Walid menyedari rombongan kaum muslimin telah melencong dari jalan utama dan melalui jalan lain. Tindakan ini telah menyebabkan mereka mulai cemas. Beliau segera ke Mekah dan memaklumkan apa yang berlaku. Mereka kemudiannya segera memacu kuda untuk menghalang Baginda dari memasuki Tanah Haram.
Apakah yang berlaku seterusnya? Tunggu esok ya....
Ust. Sabir