Berita telah sampai tentang persiapan musuh untuk menyerang Madinah menyebabkan Baginda segera membuat pengumuman kepada penduduk Madinah segera membuat persediaan dan membuka peluang kepada kaum muslimin di Madinah dan sekitarnya untuk turut menyertai peperangan. Peperangan ini berlaku pada bulan Rejab tahun ke 9 Hijrah. Pada bulan ini cuaca amat panas dan pastinya akan menguji siapakan yang benar-benar beriman dan akan turut dalam peperangan ini. Bahkan perjalanan ke Tabuk sangat jauh sekitar 800 km.
Baginda mengerahkan semua orang Islam di Madinah untuk bersama menyertai misi ini. Ianya menguji iman kaum muslimin dalam keadaan musim buah yang hampir untuk dipetik, cuaca yang panas, musuh yang kuat dan pengorbanan harta untuk berperang. Tiada subsidi untuk menyediakan peralatan dan kenderaan perang. Masing-masing perlua berusaha sendiri untuk menyediakannya. Peperangan Tabuk juga dikenali dengan peperangan Usr (sukar). Allah SWT memerintahkan kaum muslimin untuk menyertai perang ini sebagaimana firman Allah SWT,
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Surah Taubah 9:41)
Ketika inilah terserlah golongan yang benar-benar menyahut seruan perang dan yang mencari helah untuk tidak menyertainya. Ada yang meminta izin kepada Baginda untuk tidak menyertai perang ini dengan pelbagai alasan. Golongan ini adalah kumpulan munafik yang juga menghasut kaum muslimin agar tidak turut bersama Baginda. Lihat firman Allah SWT,
فَرِحَ الْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَافَ رَسُولِ اللَّهِ وَكَرِهُوا أَن يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَالُوا لَا تَنفِرُوا فِي الْحَرِّ ۗ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا ۚ لَّوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ
Maksudnya : Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bergembira disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah) dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya) dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami. (Surah Taubah 9:81)
Rasulullah s.a.w menawarkan sesiapa yang memberi infak bagi perang Tabuk ini ganjarannya adalah syurga. Para sahabat antaranya Abu Bakar, Uthman, Umar dan lain-lainnya segera menyahut tawaran Baginda tanpa berlengah lagi. Ketahuilah para Sahabat adalah golongan yang kaya tetapi kekayaan mereka adalah dimanfaatkan untuk akhirat bukannya untuk kemewahan dunia.
Kini kelengkapan untuk berperang sudah cukup dengan jumlah tentera kaum muslimin sudah berjumlah 30,000 orang. Berita tentang persiapan untuk berhadapan dengan Rom sudah sampai kepada Raja Herkules. Apakah yang akan berlaku?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir