Peperangan Khaibar (samb)
Berita tentang perancangan Baginda untuk menyerang Khaibar telah sampai kepada Yahudi di Khaibar. Saki baki Yahudi di Madinah serta bapa munafik Abdullah Bin Ubai telah menyampaikan berita kepada mereka. Baginda memang secara terbuka mewar-warkan tentang peperangan ini dan ianya bukan satu rahsia kerana wahyu telah turun menceritakan kemenangan mereka. Sebagai seorang Rasul tidak mungkin menyembunyikan wahyu Allah, maka tidak sedikit pun memberi kegentaran kepada tentera Islam walaupun berita peperangan sampai terlebih dahulu kepada musuh.
Orang-orang Yahudi membuat perang psikologi bahawa mereka akan menyembelih tentera Islam sekiranya mereka menyerang Khaibar. Jumlah tentera Islam adalah sama dengan jumlah kaum muslimin yang bersama pada perjanjian Hudaibiyah iaitu 1500 orang manakala jumlah tentera Yahudi di Khaibar adalah 10,000 orang. Namun kali ini jumlah tentera berkuda dari kalangan tentera muslimin adalah 200 iaitu yang paling besar dalam mana-mana peperangan sebelum ini.
Yahudi Khaibar meminta bantuan dari beberapa kabilah Arab. Antara pertolongan yang diminta adalah dari Arab Badwi dari keturunan Murrah, pemimpinnya bernama Harith Bin Auf Al-Murri. Namun beliau menolak untuk menyertai Yahudi Khaibar dengan alasannya kekuatan Baginda dari masa ke semasa semakin kukuh dan kuat. Baginda sentiasa menempa kemenangan demi kemenangan maka tindakan memerangi Baginda adalah satu kesilapan besar.
Yahudi Khaibar kemudian meminta bantuan dari keturunan Ghatafan yang tidak jauh penempatan mereka dari penempatan kaum Murrah. Pemimpin Ghatafan iaitu Uyaynah Bin Husn bersetuju memberi bantuan kepada Yahudi Khaibar. Walaupun Harith Bin Auf Al-Murri datang menasihati Uyaynah Bin Husn agar jangan terlibat dengan peperangan ini namun beliau berkeras tetap akan membantu Yahudi Khaibar. Antara faktornya Uyaynah Bin Husn telah ditawarkan separuh dari hasil harta Khaibar sekiranya beliau membantu Yahudi Khaibar. Maka Uyaynah Bin Husn menghantar 1000 orang ke Khaibar membentengi kota Khaibar dan 4000 tenteranya akan menyusul dari belakang.
Peristiwa sebaliknya berlaku apabila 4000 orang tentera Ghatafan yang sudah bergerak menuju ke Khaibar berpatah balik semula ke perkampungan mereka apabila mereka mendengar berita kononnya penempatan mereka diserang. Namun apabila mereka tiba tiada apa pun yang berlaku. Lalu mereka bercadang untuk kembali semula ke Khaibar tetapi sudah terlambat kerana sebahagian dari Khaibar sudah dikuasai oleh tentera muslimin. Pertolongan Allah sentiasa bersama Baginda kerana kaum muslimin yang taat kepada perintah Allah dan Rasul.
Yahudi Khaibar mulai rasa gentar dan takut walaupun jumlah mereka berkali ganda lebih besar dari tentera Islam selain persenjataan yang lebih lengkap. Kesombongan laungan mereka sudah tidak kedengaran lagi sebaliknya laungan takbir tentera muslimin memecah kesunyian di medan perang. Suara takbir yang dikumandangkan bukan hanya suara biasa tetapi suara kemenangan hasil dari keimanan.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir