Fitnah Terhadap Aisyah Oleh Golongan Munafik
Rasulullah s.a.w telah membuat undian terhadap isteri-isterinya siapa yang akan turut menemani Baginda dalam peperangan Bani Mustaliq. Ianya adalah perkara biasa yang dilakukan oleh Baginda terhadp isteri-isterinya dengan undian sebegitu. Akhirnya undian menyebelahi Aisyah dan Baginda mempersiapkan kenderaan untuk Aisyah turut serta.
Semasa dalam perjalanan balik ke Madinah setelah selesai peperangan Bani Mustaliq, Aisyah telah keluar dari kenderaan untuk menunaikan hajatnya apabila tentera muslimin berhenti rehat. Aisyah telah meminjam dan memakai kalung dari Asma sebelum beliau berangkat bersama rombongan tentera muslimin. Ketika beliau kembali untuk menaiki kenderaannya setelah selesai menunaikan hajatnya tiba-tiba Aisyah perasan kalungnya telah hilang maka beliau telah berpatah balik dan mencari kalung tersebut.
Apabila masa untuk para tentera kembali meneruskan perjalanan pulang ke Madinah mereka menyangka Aisyah sudah pun berada dalam kenderaannya. Malah kenderaan Aisyah bertutup dan tiada yang mengetahui beliau tiada di dalamnya. Maka rombongan tentera muslimin pun terus bergerak pulang sedangkan Aisyah masih mencari kalungnya yang jatuh. Apabila Aisyah telah menemui kalungnya maka beliau segera menuju ke kenderaannya namun beliau mendapati rombongan tentera muslimin telah beredar.
Aisyah telah mengambil keputusan untuk duduk dan tunggu rombongan ini kembali mengambil beliau setelah mendapati beliau tiada bersama mereka. Akibat lama menunggu maka Aisyah terlelap dan beliau terjaga setelah mendengar seseorang berkata "Inna lillahi wainna ilaihi rajiuun, isteri Rasulullah? Lelaki tersebut adalah seorang sahabat bernama Safwan Bin Ma’tal. Beliau mengenali Aisyah kerana pernah melihatnya sebelum turunnya ayat perintah hijab.
Safwan mengambil tanggungjawab bagi memastikan Aisyah kembali ke Madinah dengan selamat dengan memberi untanya untuk ditunggang oleh Aisyah manakala Safwan berjalan membawa unta tersebut. Tiada perkataan yang diucapkan atau dibualkan oleh Aisyah dan Safwan sepanjang perjalanan tersebut. Apabila tiba di Nahr al Zahirah iaitu tempat rombongan tentera muslimin berehat maka orang ramai melihat Aisyah dan Safwan baru tiba. Maka mereka tidak bersangka buruk dan menerima alasan yang munasabah akibat tertinggal Aisyah tanpa diperiksa terlebih dahulu.
Namun kaum munafiq telah mengambil peluang untuk menghina Aisyah dan Rasulullah s.a.w denga mereka menyebarkan fitnah yang paling jahat. Maka berlakulah bisik-bisik dan andaian-anadaian yang disebarkan kepada kaum muslimin. Fitnah ini mula tersebar dan sampai ke pengetahuan Baginda. Rasulullah s.a.w mengambil sikap berdiam diri dan tidak membuat apa-apa tindakan.
Aisyah pula selepas balik dari mengikuti rombongan Baginda beliau kurang sihat dan berehat di rumah bapanya Abu Bakar As Siddiq. Fitnah ini dicanang oleh Abdullah Bin Ubai dengan lebih meluas sehingga masyarakat mula melihat ianya seolah-olah benar kerana liciknya mainan syaitan dan golongan munafik ini.
Apakah yang terjadi seterusnya? Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir