Pengkhianatan Yahudi Bani Nadhir (Samb)
Baginda menghantar utusannya iaitu Muhammad Bin Maslamah dengan pesanan Baginda, “keluarlah kamu dari Madinah dan jangan kamu hidup bersama ku lagi di Madinah. Aku memberi tempoh 10 hari. Sesiapa yang masih berada selepas tempoh ini akan dipancung lehernya.”
Yahudi Bani Nadhir ketakutan dengan amaran Baginda. Tiba-tiba muncul Abdullah Bin Ubai bapa munafiqun menghantar wakilnya kepada Yahudi Bani Nadhir agar jangan mengalah dengan amaran Rasulullah s.a.w. Beliau memberi keyakinan kononya 2000 orang tentera akan bersama dengan mereka mempertahankan Yahudi Bani Nadhir. Kisah ini dirakamkan dalam al Quran,
۞ أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ نَافَقُوا يَقُولُونَ لِإِخْوَانِهِمُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِنْ قُوتِلْتُمْ لَنَنْصُرَنَّكُمْ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya : Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta. (Al Hasyr 59:11)
Abdulah Bin Ubai menambah keyakinan mereka bahawa Bani Quraizah dan Bani Ghatafan akan turut serta bersama mereka menentang tentera muslimin. Kata-kata Abdulah Bin Ubai ini telah mengubah keputusan Bani Nahdir untuk mengalah kepada bertahan dan menentang Baginda. Sehinggalah mereka berkata , "kami tidak akan keluar dari kampung kami ini buatlah apa yang kamu mahu lakukan.”
Mendengar sahaja keputusan yang dibuat oleh Huyai Bin Akhtab wakil Bani Nadhir maka Baginda melaungkan takbir dan disambut oleh para tentera muslimin. Tentera muslimin mula mengepung perkampungan Bani Nadhir. Penduduk Bani Nadhir bersembunyi di dalam perkampungan dengan menutup pintu kota serta melontarkan batu-batu dan tombak dari dalam.
Yahudi Bani Nadhir sangat mencintai harta dunia, pohon-pohon tamar yang berada diluar kota adalah harta yang sangat mereka sayangi kerana ianya sumber pendapatan mereka. Maka Rasulullah s.a.w memerintah supaya memotong pohon-pohon tamar dan membakarnya. Melihat pohon-pohon tamar ini tumbang satu demi satu maka hati mereka mula gelisah. Tindakan memusnahkan pohon-ohon tamar ini diizinkan oleh Allah sebagaimana firmanNya,
مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَىٰ أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِينَ
Maksudnya : Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan kerana Ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik. (Al Hasyr 59:5)
Baginda berkata kepada mereka, “kami akan menebangnya semuanya sehingga kamu menyerah diri.”
Akhirnya mereka terpaksa menyerah diri kerana Allah mencampakkan rasa gerun terhadap Baginda dan tentera Islam sedangkan belum satu anak panah pun dilontarkan kepada mereka. Wakil mereka datang bertemu Baginda dan menyatakan mereka menyerah diri. Keputusan yang dibuat oleh Baginda ialah mereka mesti keluar dari Madinah membawa diri, keluarga dan harta sekadar yang boleh dibawa oleh unta-unta tanpa senjata.
Pembesar-pembesar Bani Nadhir seperti Huyai bin Akhtab dan Salam bin Abi al-Haqiq berpindah ke kawasan seperti Khaibar. Manakala sebahagiannya yang lain keluar hingga sampai ke negeri Syam. Cuma dua orang sahaja yang memeluk Islam iaitu Yamin bin Amru dan Abu Saad bin Wahb mereka berdua dikembalikan hartanya.
Setelah menuju dan menetap di Khaibar pembesar Bani Nadhir diangkat menjadi pemimpin dan mereka telah menggerakkan misi tentera Ahzab yang terdiri dari Quraisy, Arab dan Yahudi Khaibar untuk menyerang Madinah.
Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir