Setibanya di Madinah Baginda terus menuju ke masjid dan solat dua rakaat. Kemudiannya datanglah sekumpulan orang menghadap Baginda memohon kemaafan kerana tidak turut serta dalam peperangan Tabuk. Terdapat beberapa golongan yang tidak turut serta dalam perang Tabuk antaranya ialah:
1. Ali bin Abi Talib dan Muhammad bin Maslamah yang diperintahkan Baginda menjaga kota Madinah ketika Baginda ke Tabuk.
2. Golongan yang sakit, uzur, cacat dan sangat miskin hinggakan tidak mampu menyediakan kenderaan untuk ke Tabuk.
3. Golongan Munafik yang memberi alasan untuk mengelak turut serta dalam perang Tabuk.
4. Beberapa orang Sahabat yang ingkar arahan Baginda yang melewatkan persediaan untuk ke Tabuk iaitu Abu Lubabah dan kawan-kawannya, Kaab bin Malik, Mararah bin al-Rabi' dan Hilal bin Umaiyah.
Golongan yang sakit dan uzur dimaafkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya,
لَّيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلَا عَلَى الْمَرْضَىٰ وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ ۚ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِن سَبِيلٍ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Taubah 9:91)
Bagi Abu Lubabah dan kawan-kawannya pula mereka telah mengikat diri mereka pada tiang masjid kerana menyesal tidak ikut arahan Baginda. Mereka berikrar akan tetap di tiang tersebut sehingga Baginda membebaskan mereka. Namun Baginda berkata hanya Allah SWT yang layak mengampunkan mereka bukannya Baginda. Beruntungnya Abu Lubabah dan kawan-kawannya apabila mereka mendapat keampunan Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT,
وَآخَرُونَ اعْتَرَفُوا بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا عَمَلًا صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Taubah 9:102)
Manakala 80 orang yang meminta pengampunan dari Baginda. Mereka mendapat kemaafan serta doa Baginda setelah mendengar secara zahir apa yang mereka ucapkan. Terdapat dalam kumpulan ini adalah golongan munafik tetapi tindakan Baginda ditegur oleh Allah SWT dalam al-Quran,
عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya : Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan mereka (tidak turut berperang Tabuk) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta? (Surah Taubah 9:43)
Seterusnya 3 orang Sahabat yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka kerana melanggar arahan Baginda. Allah SWT memerintahkan mereka dihukum iaitu dipulaukan oleh penduduk Madinah. Pemulauan berlaku sehingga mencapai 50 hari. Akhirnya barulah taubat mereka diterima setelah mereka menjalani hukuman dan penyesalan yang bersungguh-sungguh. Lihat firman Allah SWT,
وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّىٰ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَن لَّا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya : Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan) dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepada-Nya kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. (Surah Taubah 9:118)
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir