Fitnah Terhadap Aisyah Oleh Golongan Munafik (samb)
Aisyah mengetahui berita fitnah yang disebarkan ke atasnya itu setelah diceritakan oleh Ummu Misthah yang telah menyumpah anak lelakinya iaitu Misthah yang termasuk orang yang memfitnah Aisyah. Apabila mendengar khabar buruk ini Aisyah telah meminta izin Baginda untuk bertemu ke rumah bapanya iaitu Abu Bakar. Apabila tiba Aisyah telah bertanya tentang berita fitnah itu adakah mereka juga menyedarinya? Berkata ibu Aisyah, Wahai anakku sayang! Jangan kamu hiraukan. Demi Allah, jarang sekali wanita cantik yang disayangi suami padahal dia mempunyai banyak madu yang tidak dikata orang.”
Mendengar berita fitnah itu dari ibu bapanya maka menangislah Aisyah sehingga 2 malam berturut-turut. Tidak lama selepas itu Rasulullah s.a.w menziarahi Aisyah di rumah Abu Bakar. Setelah Baginda mengungkap syahadah lalu berkatalah Baginda kepada Aisyah,
"Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentangmu. Jika sekiranya kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu. Jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah Maha menerima taubatnya."
Mendengar kata-kata Baginda maka Aisyah menangis dan meminta kedua ibu bapanya menjawab pihak pihaknya. Namun kedua ibu bapanya tidak tahu bagaimana hendak manjawab bagi pihak Aisyah. Akhirnya Aisyah yang dalam kesedihan yang amat sangat telah berkata,
"Demi Allah! Aku telah mendengar berita itu dan kamu juga mendengarnya, supaya puas hati kamu maka aku suka menegaskan bahawa sesungguhnya aku masih bersih daripada fitnah itu dan Allah Maha Mengetahui bahawa aku masih bersih tetapi kamu tidak mahu mempercayainya. Jika sekiranya aku mengaku seperti itu, Allah Maha Mengetahui aku ini tidak bersalah nescaya kamu mempercayainya. Demi Allah! Aku tidak ada apa yang hendak dikatakan melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusof Alaihissalam : Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku (Yusuf 12: 18) "
Tidak lama setelah Aisyah berkata demikian Allah telah menurunkan wahyu kepada Baginda. Baginda berpeluh ketika wahyu turun tetapi tidak seperti kebiasaanya kali ini Baginda tersenyum gembira dengan turunnya wahyu.
Berkata Baginda, “gembiralah wahai Aisyah! Allah telah mengatakan kamu sungguh bersih dari tuduhan itu”.
Kemudian berkatalah ibu Aisyah, “bangun dan memohon maaf kepada Rasulullah.
Aisyah menjawab, “demi Allah ! Aku tidak perlu meminta maaf kepada Baginda. Aku hanya wajib memuji Allah kerana Dialah yang menurunkan wahyu yang mengatakan bahawa aku bersih dari tuduhan kotor itu.”
Penerangan tentang wahyu itu akan disambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir