Tentera muslimin meneruskan perjalanan ke Tabuk dan telah melalui beberapa tempat menemui beberapa kabilah. Peluang ini telah diambil oleh Baginda dengan menyeru mereka kepada Islam. Baginda mengutus Khalid bin al-Walid kepada penduduk Ailah dan mereka bersetuju membayar jizyah iaitu cukai dan mendapat perlindungan dari kerajaan Madinah. Begitu juga dari kalangan kabilah Jarba’ dan Azruh turut serta membayar jizyah dan membuat perjanjian damai dengan kerajaan Madinah.
Khalid bin al-Walid turut dihantar ke Daumatul Jandal untuk menyeru Raja Ukaidar kepada Islam. Ketika Ukaidar sedang memburu lembu liar Khalid bin al-Walid telah berjaya membawa Raja Ukaidar untuk mengadap Baginda. Hasil dakwah Baginda, Raja Ukaidar menerima dan bersetuju membayar jizyah. Kini wilayah yang pernah dikuasai oleh kerajaan Rom semakin mengecil. Wilayah ini lebih aman dan selesa dibawah kerajaan Madinah.
Pasukan tentera Rom tidak muncul di Tabuk walaupun mereka mengetahui kedatangan tentera Islam. Wilayah-wilayah yang berdekatan di laluan Tabuk telah menerima perjanjian damai dengan kerajaan Madinah menyebabkan Raja Herkules tidak berani untuk menyerang tentera muslimin. Akhirnya setelah 20 hari tentera muslimin menanti di Tabuk, tentera Rom tidak juga muncul. Peperangan yang dijadualkan berlangsung tidak menjadi kenyataan. Satu kredit yang besar kepada Baginda dan kerajaan Madinah apabila berita tersebar secara meluas iaitu kerajaan Rom gerun untuk berperang. Kesan positifnya ialah perkembangan wilayah Islam hingga menuju hampir ke sempadan Rom.
Misi ke Tabuk selesai tanpa pertempuran, lalu Baginda dan tentera muslimin mula berangkat kembali semula ke Madinah. Ketika dalam perjalanan ini 12 orang dari kalangan munafik yang menutup muka mereka telah merancang untuk membunuh Baginda. Ketika Baginda hanya bersama Abu Dzar al-Ghifari dan Huzaifah al-Yaman kumpulan munafik ini telah mengepung mereka. Huzaifah al-Yaman meluru dan melibas mereka dengan perisainya menyebabkan mereka semuanya lari dan menyelinap masuk bersama pasukan tentera muslimin. Namun Huzaifah al-Yaman berkata kepada Baginda beliau mengenali siapakah kumpulan munafik ini. Nama-nama mereka diberitahu satu persatu kepada Baginda. Namun Baginda memerintahkan agar nama tersebut dirahsiakan oleh Huzaifah al-Yaman.
Akhirnya Baginda dan tentera muslimin telah tiba di Madinah pada bulan Ramadan setelah memulakan perjalanan pada bulan Rejab iaitu hampir 50 hari perjalanan pergi, tinggal di Tabuk dan kembali ke Madinah semula. Penduduk Madinah yang terdiri dari kalangan kanak-kanak, orang tua dan wanita menyambut kepulangan mereka dengan gembira. Rasulullah s.a.w sendiri amat merindui bumi Madinah, bukit Uhud dan sekitarnya.
Bagi yang tidak menyertai peperangan ini mereka mulai rasa gelisah terutamanya golongan munafik yang mengharapkan Baginda dan kaum muslimin tewas dalam peperangan. Terdapat juga 3 orang Sahabat yang tidak turut serta dan mereka juga dalam keadaan cemas bagaimana hendak berhadapan dan apakah alasan yang hendak diberikan kepada Baginda. Apakah tindakan Rasulullah s.a.w.?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir