Penduduk Luar Mekah Menganut Islam
Abu Dzar al-Ghifari (samb)
Aku berkata kepadanya, “sebenarnya telah sampai kepada pengetahuan kami, bahawa di sini ada seorang yang telah mendakwa dirinya sebagai nabi Allah. Sebelum ini aku telah mengutus suadaraku untuk berbicara dengannya tetapi kepulangan saudaraku dengan maklumat terbatas itu tidak memuaskan hatiku, oleh itu aku hendak berjumpa dengan beliau sendiri.”
Kemudian Ali berkata, “kamu akan diberi petunjuk, sekarang aku hendak pergi menemuinya. Kamu ikut aku di mana aku masuk kamu masuk, sekiranya aku melihat seorang yang aku curigai, aku akan berhenti di tepi dinding pagar, seolah-olah hendak membetulkan tali kasutku, kamu teruskan sahaja.”
Setelah itu beliau berjalan dan aku mengikutinya dari belakang. Akhirnya aku masuk bersama beliau menemui Rasulullah dan aku berkata padanya, “silakan perkenalkan Islam kepada aku."
Baginda pun terus memperkenalkan Islam kepadaku lalu aku pun terus memeluk Islam. Tidak sempat berubah tempat, terus Baginda berkata kepadaku, “wahai Abu Dzar, hendaklah kau rahsiakan perkara ini (keislaman kamu), sekarang kamu boleh pulang dan apabila sampai kepada kamu berita tentang perkembangan dan kebangkitan kami, kamu boleh mengikut bersama kami.”
Aku berkata, “demi Tuhan yang telah mengutuskan engkau dengan kebenaran akan aku ceritakan dan melaung di depan muka mereka.”
Dengan itu aku pun segera ke masjid, ketika ramai orang Quraisy berada di situ dan aku pun melaung,
“Wahai orang-orang Quraisy sekarang dengar dariku, sesungguhnya aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hamba dan pesuruhNya.”
Lalu mereka semua melaung, “cepat ada seorang lagi yang menukar agamanya.”
Kemudiannya mereka semua menerpa ke arah aku dan memukul aku separuh nyawa, hinggalah al-Abbas datang membebaskan aku. Kemudian beliau berkata dengan mereka, “binasalah kamu semua, kamu membelasah orang Ghifar ini? Perjalanan dan perniagaan kamu melalui perkampungan qabilah Ghifar.”
Lalu mereka pun melepaskan Abu Dzar, namun bila menjelang subuh di keesokkan harinya, aku fikir mahu lakukan seperti semalam sekali lagi. Aku pun terus melaung dengan laungan dua kalimah syahadah, sekali lagi pihak Quraisy telah menerkam ke arah aku kata mereka, “ayuh lanyak si pulan ini yang telah keluar dari agama itu."
Mereka memukul diriku seperti semalam. Kemudian sekali lagi al-Abbas mendapatkan aku mendakap dan berseru seperti beliau serukan kepada mereka semalam.
Peristiwa tindakan Abu Dzar ini telah sampai kepada Rasulullah, Baginda sekali lagi menyeru kepada Abu Dzar agar kembali ke kampungnya. Belum tiba lagi masa untuk bertindak lebih jauh lagi. Abu Dzar akur dan kembali ke kampungnya dan mula berdakwah mengajak mereka mentauhidkan Allah. Alhamdulillah seruan dakwah kepada kaumnya mendapat sambutan yang baik.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir