Peperangan Khaibar (samb)
Ketika tentera muslimin menuju ke kota Khaibar, Baginda bertanya siapa yang mahu bermadah (menghiburkan tentera dengan syair atau puisi) lalu pertanyaan itu disambut oleh Amir Bin Akwa. Beliau mempunyai suara yang merdu dan menghiburkan. Setiap bait ungkapannya menyebabkan semua gembira hinggakan terlihat pada gaya badan yang mengasyikkan. Kemudian tiba-tiba Baginda mengungkapkan ‘Yarhamukallah” kepada Amir Bin Akwa. Ungkapan itu biasanya diucapkan untuk orang yang akan mati dan Amir Bin Akwa kemudiannya termasuk golongan yang syahid di medan Khaibar.
Seterusnya tentera muslimin bertakbir dan berdoa dengan kuat ketika hampir dengan kota Khaibar lalu ditegur Baginda agar memperlahankan suara. Kemudian Baginda berdoa dengan mereka semua,
“Wahai Allah, Tuhan segala langit dan segala yang dinaungi di langit. Serta Tuhan segala bumi dan apa yang ada di bumi, Tuhan semua Syaitan dan apa yang mereka sesatkan dan Tuhan segala angin dan apa yang ditiup angin. Sesungguhnya kami memohon kebaikan negeri ini dan kebaikan penduduknya dan apa yang ada padanya. Kami berlindung dengan Mu dari kejahatan penduduknya dan kejahatan yang ada di dalamnya. Majulah dengan nama Allah.”
Tentera muslimin sudah tiba dekat kota Khaibar pada waktu malam. Manakala tentera musuh pula tertidur lena tanpa menyedari ketibaan tentera muslimin. Keesokkan paginya Baginda mengimamkan solat subuh di sebalik pokok-pokok tamar di luar kota Khaibar. Pada waktu awal paginya menjadi kebiasaan tentera musuh akan keluar awal untuk meninjau kedudukan tentera muslimin namun kali ini mereka terlena hingga tidak sedar. Penduduk Khaibar terus menuju ke kebun mereka tanpa menanti isyarat dari tentera Khaibar. Apabila memasuki kebun tamar maka terkejutlah mereka melihat tentera muslimin berada di kebun-kebun mereka. Maka bertempiaran mereka melarikan diri menuju ke kubu kota Khaibar.
Baginda tidak mengizinkan para tenteranya mengejar para penduduk ini walaupun ada yang sangat bersemangat untuk berperang. Strategi perang perlu diatur bukan dengan cara mengikut rentak apa yang melintas di hadapan. Kemudian sekali lagi di awal pagi Baginda mengumpulkan para tenteranya seraya berdoa kepada Allah,
“Wahai Allah, Engkaulah Tuhan kami dan Tuhan mereka. Nasib kami dan nasib mereka ditanganMu. Allah Engkaulah yang membunuh mereka”
Begitulah ajaran Baginda agar sentiasa memulakan setiap perkara dengan mengharap kepada Allah. Doa adalah senjata yang paling ampuh yang dimiliki oleh umat Islam. Musuh sudah bersedia untuk mengempur tentera muslimin. Mereka nekad tidak mahu tunduk kepada Baginda dan sanggup menghadapi apa jua kemungkinan. Manakala tentera muslimin tetap yakin dengan janji Allah mereka akan menang walaupun logik akal melihat kepada jumlah musuh yang ramai solah-olah mereka tidak mungkin memenangi peperangan ini. Benteng musuh pula bukan sedikit dan mereka memasuki penempatan yang selok belok laluannya dikuasai oleh musuh.
Pintu kubu mula dibuka untuk serangan pertama oleh Yahudi Khaibar.....bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir