Perjanjian Hudaibiyah (samb)
Kini isi perjanjian telah dimuktamadkan, para Sahabat Baginda masih serba salah dan kecewa. Tanah Haram hanyalah beberapa langkah sahaja dari mereka. Pakaian ihram masih kekal ditubuh mereka. Kerinduan terhadap kampung halaman iaitu Mekah amat menggamit jiwa keinginan utuk tawaf di Kaabah menyelubungi hati mereka.
Baginda menemui semua rombongan muslimin dan menyeru mereka untuk bertahalul (mencukur atau mengunting rambut) serta menyembelih korban. Seruan Baginda tidak disambut oleh para Sahabat semuanya tidak berganjak. Baginda menyeru sehingga tiga kali namun semuanya masih tidak menyahut. Baginda merasa hairan dan sedih melihat para Sahabat tidak mematuhi Baginda, lalu Baginda masuk ke khemah dalam menemui isterinya Ummu Salamah. Baginda menceritakan kepada isterinya perihal sahabat-sahabat yang tidak menurut kata-kata Baginda. Berkata Ummu Salamah,
"Apakah tuan hamba mahu mereka semua lakukan itu?" Ayuh Rasulullah s.a.w. sembelihkan qurban itu tanpa menyebut apa-apa suruhan pun kemudian jemput tukang cukur mencukur rambut tuan hamba".
Mendengar kata-kata Ummu Salamah, maka Baginda keluar dari khemahnya dan terus menyembelih qurban dan menyuruh dicukur rambutnya. Apabila para Sahabat melihat Baginda melakukannya maka mereka semua segera bercukur dan ada yang bergunting.
Melihat para Sahabat bercukur maka berkatalah Baginda, “Allah merahmati mereka yang bercukur.”
Kemudian para Sahabat berkata, “dan mereka yang bergunting ya Rasullullah.”
Baginda berkata, “Allah merahmati mereka yang bercukur.”
Para Sahabat berkata lagi, “dan mereka yang bergunting ya Rasulullah.”
Baginda mengulangi berkata, “Allah merahmati mereka yang bercukur.”
Para Sahabat berkata lagi, “dan mereka yang bergunting ya Rasulullah.”
Kemudian barulah Baginda berkata, “dan juga mereka yang bergunting.”
Sebanyak 70 ekor unta disembelih dan seekor unta untuk 7 bahagian. Baginda juga turut menyembelih seekor unta yang pernah menjadi kepunyaan Abu Jahal yang kini telah menjadi harta rampasan perang. Para Sahabat akhirnya menerima keputusan perjanjian Baginda dan mereka tinggal beberapa hari di Hudaibiyah sebelum berangkat ke Madinah. Wahyu Allah turun bagi mengembirakan mereka dengan janji kemenangan.
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا (١) لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا (٢)وَيَنْصُرَكَ اللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا (٣)هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَعَ إِيمَانِهِمْ وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (٤)
(Fath Ayat 48:1-4)
Maksudnya : (1) Sungguh, Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. (2) Agar Allah memberikan keampunan kepadamu (Muhammad) atas dosamu yang lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan menunjukimu ke jalan yang lurus, (3) dan agar Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak). (4) Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin untuk menambah keimanan atas keimanan mereka (yang telah ada). Dan milik Allahlah bala tentera langit serta bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana.
Kini semua rombongan Baginda merasa tenteram dengan perjanjian Hudaibiyah. Jaminan dari Allah dan Rasulnya dipegang erat oleh kaum muslimin. Mereka adalah menusia yang hebat yang meletakkan iman mengatasi apa yang difikirkan secara logika akal mereka.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir