Peperangan Khaibar (samb)
Kubu Ubay dan Nazar Ditawan
Serangan seterusnya oleh tentera muslimin adalah ke kubu Ubay yang terletak di kawasan al-Syaq. Kali ini Rasulullah s.a.w memilih Abu Dujanah Sumak bin Kharsyah al-Ansari memimpin pasukan tentera muslimin untuk melakukan serangan seterusnya menawan kubu Ubay. Pada peringkat awal kubu Ubay dikepung oleh tentera muslimin selama beberapa hari. Yahudi Khaibar yang telah kehilangan tiga kubu mereka lari dan berkubu di Ubay.
Yahudi Khaibar tidak ada pilihan lalu mereka keluar mencabar tentera muslimin untuk bertarung satu lawan satu. Sahutan ini disambut oleh tentera muslimin dan setiap seorang demi seorang panglima perang Yahudi tewas di tangan tentera muslimin. Seterusnya Abu Dujanah yang sememangnya hebat dari sudut strategi perang telah menyerang kubu Ubay tanpa henti sehingga berlakunya pertempuran yang sengit dan akhirnya kubu ini berjaya ditawan oleh tentera muslimin.
Tentera Yahudi Khaibar terus lari ke kubu Nazar untuk menyelamatkan diri. Inilah kubu di kawasan al-Syaq yang paling kuat yang terletak di atas bukit. Yahudi Khaibar menempatkan wanita dan kanak-kanak di kubu ini dan mereka amat yakin kubu ini tidak akan berjaya ditembusi oleh tentera muslimin. Tentera muslimin bergerak dan mengepung kubu Nazar beberapa hari. Agak sukar untuk mendekati kubu ini kerana tentera Yahudi menghujani dengan anak-anak panah, batu dan lontaran tombak apabila tentera muslimin cuba mendekatinya.
Tentera muslimin masih mengepung manakala tiada pula cabaran untuk bertarung satu lawan satu dari Yahudi Khaibar. Baginda mengarahkan agar menggunakan manjanik kepunyaan Yahudi Khaibar yang berada dalam kubu yang telah berjaya ditawan untuk melakukan serangan dari jauh. Kali ini senjata yang diperbuat oleh Yahudi digunakan untuk meyerang kembali Yahudi. Lontaran batu besar telah meruntuhkan tembok kubu Nazar. Apabila tembok kubu telah pecah dan runtuh maka Baginda mengarahkan serangan ke dalam kubu. Berlaku pertarungan yang sengit sehingga ramai yang tidak sempat melarikan diri manakala yang melarikan diri pula meninggalkan anak dan isteri mereka.
Kini yang tidak sempat melarikan diri terdiri dari tentera, anak-anak dan wanita Yahudi menjadi tawanan perang. Tentera muslimin menguasai sepenuhnya kubu Nazar. Tentera Yahudi yang melarikan diri kini berlindung pula di kubu Katibah manakala di kubu-kubu kecil yang lain ramai yang sudah melarikan diri apabila mengetahui kubu yang kuat pun telah ditawan oleh tentera muslimim. Kemudian Baginda Rasul berkata, “Inilah kubu Khaibar yang terakhir berlaku pertempuran bagi menawannya.”
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir