Peperangan Zat al-Salasil
Setelah menempuh perang dengan Rom dan sekutunya, Baginda mula mengumpul maklumat tentang kabilah yang berada di bawah sekutu Rom. Dengan mendekati dan menyebarkan Islam kepada sekutu Rom ini kekuatan Rom boleh dipecahkan. Maka Baginda telah memilih Amru bin al-As untuk melaksanakan misi ini.
Dahulunya Baginda melantik Khalid Al Walid yang baru empat bulan memeluk Islam untuk memimpin perang Mu’tah kini pula giliran Amru bin al-As yang baru lima bulan menerima Islam memimpin peperangan Zat al-Salasil.
Pada pandangan lain pula Amru bin al-As telah dikirim kepada kabilah Bani Qudhaah setelah menerima khabar mereka sedang membuat persiapan untuk menyerang Madinah. Bani Qudhaah turut menyeru kabilah lain dan juga tentera Rom untuk turut serta menyerang Madinah. Maka Baginda segera mengutus beliau untuk memerangi kabilah Bani Qudhaah. Peristiwa ini berlaku pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 8 Hijrah.
Pasukan Amru bin al-As berjumlah 300 orang terdiri dari kalangan Ansar dan Muhajirin dengan pasukan berkuda berjumlah 30 ekor kuda menuju ke perkampungan Bani Qudhaah. Turut serta dalam rombongan ini terdiri dari Sahabat iaitu Abu Bakar, Usaid bin Khudair, Saad bin Abi Waqas, Saad bin Ubadah dan para Sahabat yang awal memeluk Islam. Amru bin al-As yang baru memeluk Islam diberikan amanah memimpin peperangan ini tentu sekali ada hikmah besar yang cuba dididik oleh Baginda kepada para Sahabat.
Setelah hampir sampai ke penempatan Bani Qudhaah, didapati pasukan musuh jumlahnya terlalu ramai maka Amru bin al-As telah meminta bantuan dari Madinah. Bahkan ianya adalah pesanan Baginda kepada Amru jika perlu bantuan segera maklumkan kepada Madinah. Baginda telah mengutuskan Abu Ubaidah al-Jarrah memimpin pasukan yang berjumlah 200 orang tentera. Turut serta dalam rombongan ini adalah Umar al-Khattab. Pesanan Baginda kepada Abu Ubaidah al-Jarrah iaitu hendaklah beliau mematuhi segala arahan dan keputusan Amru bin al-As dalam peperangan ini.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir