Baginda mula menziarahi rumah isteri-isterinya hinggalah sampai ke rumah Maimunah ketika itu keadaan kesihatan Baginda semakin bertambah kuat. Apabila keadaan Baginda yang semakin lemah lalu dikumpulkann isteri-isterinya dan Baginda meminta izin untuk dirawat di rumah Aisyah. Ali bin Abi Talib dan Fadl bin Abbas memapah Baginda dalam keadaan sangat lemah melangkah menuju ke rumah Aisyah.
Beberapa hari lamanya Baginda dirawat akibat keadaan demam panas yang masih kuat. Seorang Sahabat Abu Said al-Khudri telah datang menziarahi Baginda dan meletakkan tangannya di dahi Baginda mengatakan beliau tidak pernah melihat orang yang demam sepanas Baginda. Demam panas ini terlalu tinggi sehingga Baginda meminta disiramkan dengan air dari tujuh bekas dari perigi-perigi di Madinah agar panasnya berkurangan dan Baginda mampu bertemu dengan kaum muslimin. Seterusnya apabila Baginda merasakan sedikit kuat lalu terus Baginda menuju ke masjid dan duduk di atas mimbarnya.
Baginda berkata, “Laknat Allah ke atas kaum Yahudi dan Nasrani kerana mereka menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid"
Dalam riwayat yang lain disebutkan, "Allah mengutuk bangsa Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid"
Kemudian Baginda berkata, "Jangan sekali-kali kamu menjadikan kubur ku sebagai berhala yang disembah ".
Baginda meneruskan ucapannya dengan berkata, "Siapa di antara kamu yang telah aku rotan belakangnya sila balas kepadaku dan sesiapa yang telah aku hina maruahnya, silalah balas kepadaku. Sesiapa yang pernah aku ambil hartanya silalah tuntut kembali.”
Kemudiannya seorang Sahabat bangun mengatakan Baginda pernah ambil 3 dinar darinya. Lalu Baginda meminta Fadl memberikan 3 dinar tersebut. Para Sahabat yang lain bertanya kenapa beliau meminta wang 3 dinar tersebut daripada Baginda. Beliau berkata beliau mahu menjadi orang yang dikasihi oleh Baginda.
Seterusnya Baginda berkata, "Aku berpesan kepada kamu sekalian, bersikap baiklah terhadap Ansar, mereka itu keluargaku dan tempat simpanan rahsiaku, mereka telah pun melaksanakan kewajipan mereka yang belum terlaksana ialah hak mereka. Untuk itu terimalah kebaikan mereka dan beri maaflah jika mereka melakukan kesalahan".
Kemudian Baginda meneruskan lagi kata-katanya yang mengundang kesedihan terhadap Abu Bakar As Siddiq yang tidak dapat dikawal lagi sebagimana disebutkan di dalam hadis:
Dari Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w duduk di atas mimbar, beliau bersabda:
“Sesungguhnya Allah menawarkan pada hamba-Nya antara perhiasan dunia sesuai yang ia kehendaki dan apa yang ada di sisi-Nya, namun hamba itu memilih apa yang ada di sisi-Nya.” Maka Abu Bakar berkata: “Bahkan kami akan menebus anda dengan bapa-bapa kami dan anak-anak kami wahai Rasulullah.” Abu Said berkata: “Kami pun merasa kehairanan.” Lantas orang-orang (para sahabat) berkata: “Lihatlah kepada syaikh (orang tua iaitu Abu Bakar) ini, Rasulullah s.a.w mengkhabarkan tentang seorang hamba yang disuruh memilih antara perhiasan dunia sekehendak hatinya dengan apa yang ada di sisi-Nya, justeru dia berkata: ‘Bahkan kami akan menebus kamu dengan bapa-bapa kami dan anak-anak kami’.” Abu Said berkata: “Sebenarnya Rasulullah s.a.w adalah hamba yang diberi pilihan tersebut, manakala Abu Bakar adalah orang (pertama) yang lebih mengetahui hal itu. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik orang terhadapku dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar, jika aku boleh menjadikannya kekasih selain Allah, nescaya akan aku jadikan Abu Bakar sebagai kekasihku, namun persaudaraan Islam (sebagai kecintaan), tidaklah tersisa seberkas cahaya di dalam masjid melainkan cahaya Abu Bakar.” (Sahih Bukhari, no. 446, Sunan At-Tirmidzi, no. 3593, hasan sahih)
Air mata Abu Bakar mengalir mendengarkan kata-kata Baginda. Saat perpisahan makin terasa olehnya. Beliau tidak sanggup berpisah dengan Rasulullah s.a.w dan sangat terharu dengan pengiktirafan kasihnya Rasul kepadanya.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir