Peperangan Mu’tah (samb)
Antara perkara yang menarik dalam peperangan Mu’tah adalah penyertaan Khalid Al Walid setelah menerima Islam. Beliau memeluk Islam bersama Amru bin al-A'as dan Uthman bin Talhah. Ketiga-tiga pahlawan Quraisy ini memeluk Islam dan telah mengembirakan Baginda. Khalid al Walid pertama kali menyertai tentera muslimin dalam peperangan ini dan peperangan yang disertainya adalah satu peperangan yang besar.
Rombongan tentera muslimin bersiap sedia untuk bergerak menuju ke medan perang. Penduduk Madinah melambai dan mengucapkan selamat berjaya kepada rombongan tentera ini. Manakala Rasulullah s.a.w juga mendoakan kejayaan mereka namun dalam peperangan ini Baginda tidak turut serta.
Apabila rombongan tentera muslimin tiba di Ma’an mereka telah mendapat khabar tentang jumlah tentera musuh yang berjumlah 200,000 orang telah bersedia untuk bertempur. Mereka tidak sama sekali menyangka jumlah musuh yang begitu ramai yang perlu mereka hadapi. Lalu tentera muslimin bermalam selama dua hari berfikir dan mengadakan perbincangan bagaimana tindakan yang sepatutnya diambil. Ada cadangan agar dihantar surat kepada Baginda dan mengharap adanya bantuan dari Madinah untuk bertempur dengan musuh.
Abdullah Bin Rawahah membantah cadangan ini dengan ucapannya;
“Wahai tentera muslimin, demi Allah sesungguhnya yang kamu tidak suka, itulah sebenarnya yang kamu semua keluar kerananya iaitu mati syahid. Kita tidak memerangi manusia dengan bilangan kita yang banyak atau dengan kekuatan dan persenjataan, kita tidak memerangi mereka kecuali dengan agama ini yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sehingga kita menjadi mulia. Ayuh marilah kamu ke hadapan ambillah salah satu kebaikan iaitu kemenangan menghadapi musuh atau syahid.”
Mendengar ucapan Abdullah bin Rawahan maka tentera muslimin kembali bersemangat dan meneruskan perjalanan ke Mu’tah untuk menghadapi tentera Rom dan sekutunya. Setibanya di Mu’tah mereka berkhemah dan melihat lautan manusia tentera Rom yang besar jumlahnya berbanding tentera muslimin. Sedikit sebanyak perasaan gentar dalam jiwa tentera muslimin melihat jumlah tentera musuh ini.
Seorang Sahabat bernama Thabit bin Arqam, apabila melihat tentera muslimin agak sedikit gentar lalu beliau bangun dan berucap:
“Aku adalah antara yang menyertai peperangan Badar. Allah memberi kemenangan kepada kami walaupun jumlah kami kecil. Kemenangan tentera muslimin bukanlah kerana jumlahnya tetapi kerana bantuan dari Allah.”
Ucapan Thabit bin Arqam telah memberi keyakinan dan menghilangkan kegentaran dalam jiwa mereka. Bahkan al Quran telah memberi gambaran kemenangan sebagaimana firman Allah;
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ ۚ إِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ ۚ وَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ يَغْلِبُوا أَلْفًا مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَفْقَهُونَ
Maksudnya : Wahai Nabi, ransanglah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (Al Anfal 8:65)
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir