Keadaan Rasulullah s.a.w semakin lemah sehingga Baginda tidak mampu lagi untuk mengimamkan solat Maghrib. Seterusnya Baginda memberitahu kepada Aisyah untuk menyuruh Abu Bakar As Siddiq untuk menjadi imam solat Maghrib. Aisyah adalah anak kepada Abu Bakar dan beliau amat mengenali ayahnya yang hatinya sangat lembut dan mudah menangis apabila membaca ayat-ayat al-Quran ketika mengerjakan solat. Sebagaimana diriwayatkan dalam satu hadis,
Dari Aisyah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
“Suruhlah Abu Bakar menjadi (imam solat) dengan orang-orang.” Maka Aisyah berkata; “Wahai Rasulullah sesungguhnya apabila Abu Bakar mengimami manusia, mereka tidak akan mendengar (ucapannya) kerana tangisannya. Oleh itu, suruhlah Umar untuk mengimami manusia.”
Rasulullah s.a.w bersabda: “Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami manusia.”
Aisyah berkata : “Maka aku berkata kepada Hafsah: “Katakan pada Baginda, sesungguhnya apabila Abu Bakar mengimami manusia, mereka tidak akan mendengarnya kerana tangisannya, maka suruhlah Umar untuk mengimami manusia.”
Kemudian Hafsah pun melaksanakannya, namun Rasulullah s.a.w berkata: “Sesungguhnya kamu semua seperti saudara Yusuf (suka mengingkari), suruhlah Abu Bakar untuk mengimami manusia.”
Lalu Hafsah berkata kepada Aisyah: “Sungguh aku tidak mendapatkan kebaikan sedikit pun darimu.” (Sunan At-Tirmidzi, hasan sahih)
Abu Bakar As Siddiq menjadi imam solat selama tiga hari pada waktu keadaan Baginda semakin tenat. Rumah Baginda yang bersambung dengan masjid Nabawi menyebabkan apabila diselak tabir pintu rumahnya maka Baginda dapat melihat Abu Bakar As Siddiq yang sedang solat mengimamkan para Sahabat. Baginda senyum kerana melihat Abu Bakar mampu memimpin para Sahabat. Ulama menafsirkan inilah satu tanda Abu Bakar As Siddiq akan mengantikan Baginda sebagai Khalifah yang pertama.
Selama tiga hari Baginda tidak keluar menyebabkan para Sahabat semakin risaukan keadaan kesihatan Baginda. Tiba-tiba satu hari Baginda keluar ketika para Sahabat sedang solat sebagaimana disebutkan dalam satu hadis,
Dari Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w memerintahkan Abu Bakar untuk memimpin solat jemaah bersama orang-orang ketika beliau sakit. Maka Abu Bakar pun memimpin solat mereka. Ketika Rasulullah s.a.w merasakan ringan pada tubuhnya, beliau pun keluar ketika Abu Bakar sedang mengimamikan solat. Apabila Abu Bakar melihat beliau datang, dia pun berkeinginan untuk mundur. Tetapi Baginda memberikan isyarat kepadanya (dengan katanya): “Tetaplah kamu pada posisimu.” Lalu Rasulullah s.a.w duduk di samping Abu Bakar, sehingga dia solat mengikuti solat Rasulullah s.a.w dan para jamaah mengikuti solatnya Abu Bakar.” (Sahih Bukhari)
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir