Perjanjian Hudaibiyah (samb)
Apabila Baginda tiba di lereng al Marrar tiba-tiba unta yang ditunggang Baginda yang bernama Al Qaswa berhenti dan duduk tidak mahu meneruskan perjalanannya. Ada Sahabat yang berkata unta ini degil dan tidak mahu bergerak mungkin berlaku sesuatu yang tidak baik kepadanya.
Baginda Rasulullah s.a.w berkata, "al-Qaswa tidak berdegil kerana ini bukan perangainya, tetapi ianya diberhentikan oleh kuasa yang memberhentikan gajah-gajah dahulu" (tentera bergajah Abrahah). Kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan sabdanya, "demi jiwaku ditanganNya, tidak mereka meminta dariku satu cara buat mereka mengagungkan kawasan Haram Allah itu, kecuali akan aku jawab permintaan mereka itu".
Kemudian Rasulullah s.a.w menghalau untanya lalu unta itu pun segera bangun berpusing menuju ke arah hujung Hudaibiyah, berdekatan dengan sebuah kolam yang bertakung sedikit air. Para Sahabat berhenti di sini dan memanfaatkan air yang sedikit itu sehingga kering. Apabila air telah habis lalu mereka mengadu kepada Baginda.
Mendengar kata-kata Sahabat maka Baginda mengeluarkan satu anak panah dari uncangnya lalu diberikannya kepada Najiyah bin Jundab untuk dipacakkan dalam salah sebuah perigi yang kering. Apabila anak panah tersebut dipacakkan maka tiba-tiba keluarlah air yang banyak. Air ini dimanfaatkan oleh semua rombongan Baginda yang ramai ini. Ini antara mukjizat yang Allah berikan kepada Baginda.
Pihak Quraisy memerhati rombongan Baginda ini dan mereka merasa hairan melihat rombongan ini berkhemah hanya beberapa langkah sahaja diluar dari Tanah Haram sedangkan jika mereka berkhemah di dalam kawasan Tanah Haram pastilah pihak Quraisy tidak menyerang mereka. Baginda Rasulullah s.a.w yakin bahawa Allah tidak mengizinkan mereka memasuki Tanah Haram dan itulah sebabnya unta Baginda berhenti di luar Tanah Haram.
Seterusnya bagi mendapat kepastian apa tujuan kedatangan Baginda ke Mekah walaupun sudah jelas semuanya memakai kain ihram, Quraisy telah menghantar wakilnya iaitu Budail Bin Warqa pemimpin dari Bani Khuzaah untuk bertemu Baginda. Maka bertanyalah Budail Bin Warqa apa tujuan kedatangan Rasulullah s.a.w.
Berkata Rasulullah s.a.w, "sebenarnya kami datang ini bukan untuk memerangi sesiapa. Tetapi kami datang untuk mengerjakan umrah dan sesungguhnya Quraisy sudahpun keletihan akibat peperangan demi peperangan, malah peperanganlah yang telah membinasakan mereka. Sekiranya mereka mahu aku memohon penangguhan aku boleh lakukan hingga mereka boleh memberi laluan kepada aku. Tetapi kalau mereka suka menyertai perdamaian seperti orang lain, mereka boleh lakukan sehingga dengan itu mereka boleh berehat. Sebaiknya jika mereka enggan dan hendak meneruskan peperangan, demi Tuhan yang jiwa ku ditanganNya akan aku perangi mereka habis-habisan hingga terlaksana urusan Allah".
Lalu berkata Budail, "akan aku sampaikan kepada mereka seperti yang disebut oleh kamu itu". Maka beliau pun terus pergi menemui Quraisy dan berkata, "sesungguhnya aku ini telah menemui orang itu dan telah aku dengar darinya sendiri kata-katanya, sekiranya kamu rela, maka relalah aku menyampaikannya".
Lalu Budail Bin Warqa menceritakan apa hajat Baginda namun pihak Quraisy masih tidak puas hati dan mereka menghantar pula seorang lagi utusan bernama Mikraz Bin Hafs untuk melihat Baginda. Beliau datang berjalan kaki melihat dan terus berlalu. Rasulullah s.a.w berkata orang ini seorang pengkhianat. Mikraz Bin Hafs melaporkan mungkin mereka datang untuk mengerjakan umrah dan boleh jadi juga mereka datang untuk berperang.
Quraisy masih tidak berpuas hati kerana Mikraz Bin Hafs hanya meninjau dan tidak bertemu dengan Baginda maka mereka menghantar pula wakil yang ketiga iaitu pemimpin Ahabish bernama Hulais Bin Alqamah. Melihat Hulais Bin Alqamah datang Baginda mengarahkan dibawa kehadapan unta-unta yang telah ditandakan untuk sembelihan Qurban. Ini kerana Baginda mengetahui Hulais Bin Alqamah sangat memuliakan binatang yang akan dibuat sembeliahn korban.
Maka Hulais Bin Alqamah kembali bertemu Quraisy dan berkata dia melihat unta-unta yang akan disembelih dan ini buktinya mereka datang untuk mengerjakan umrah. Namun pihak Quraisy masih tidak puas hati dan telah menghina Hulais Bin Alqamah sebagai Badawi yang tidak tahu apa-apa. Kata-kata Quraisy telah menyebabkan Hulais Bin Alqamah marah dan beliau berkata,
“Demi Allah ini bukanlah seperti yang telah kita sepakati bersama. Apakah disekat rombongan yang datang melakukan ibadah di Kaabah? Demi Allah jika kamu semua menghalangnya nescaya aku akan bawa semua kabilah Ahabish untuk memerangi kamu.”
Mendengar ancaman Hulais Bin Alqamah pihak Quraisy segera menenangkannya dan berjanji tidak memerangi rombongan Baginda. Apa lagi tindakan Quraisy? Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir