Peperangan Uhud Persediaan Musuh Islam
Di pihak tentera Quraisy Abu Sufyan menyusun atur pasukan tenteranya. Beliau memimpin pasukan ini manakala di bahagian sayap kanan dipimpin oleh Khalid Bin al-Walid, sayap kiri dipimpin oleh Ikrimah Bin Abu Jahal, pasukan pejalan kaki dipimpin oleh Safwan bin Umaiyyah dan pasukan pemanah dibawah pimpinan Abdullah Bin Abi Rabiah. Pembawa panji diserahkan kepada kelompok dari Bani Abd al-Dar.
Abu Sufian yang pandai dalam perang saraf telah menghantar wakilnya untuk menemui orang-orang Ansar agar tidak terlibat dalam peperangan ini dengan katanya,
"Biarlah permasalahan ini di antara kami dan anak-anak saudara kami sahaja, tidak usahlah kamu pedulikan, kiranya begitu akan kami beredar pulang dari sini biar peperangan pun tidak jadi".
Cubaan Abu Sufyan tidak sedikit pun memberi kesan kepada pasukan Ansar. Peperangan ini adalah bukannya antara saudara mara Quraisy tetapi adalah saudara Islam yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. Akhirnya wakil Abu Sufyan beredar meninggalkan pasukan Ansar.
Seorang lelaki bernama Abu Amru yang dikenali sebagai Abu Amru Al Rahib (seorang yang kononya alim) telah turut serta bersama dengan tentera Quraisy. Beliau dahulunya tinggal di Madinah sebelum kedatangan Baginda dan telah dicalonkan sebagai pemimpin Madinah oleh suku Aus dan Khazraj. Setelah berlakunya Hijrah dan Baginda memimpin Madinah beliau sangat tidak suka kepada Islam telah membawa diri ke Syam. Sikap permusuhan dengan Islam masih tetap dalam dirinya. Apabila beliau mendengar tentang peperangan yang akan berlaku maka segeralah beliau datang menyertai pasukan Quraisy untuk menentang Islam.
Sebelum peperangan bermula beliau telah menemui suku Aus dan Khazraj dan meminta mereka menyebelahinya namun segala tawaran dan hujahnya tidak berjaya. Suku Aus dan Khazraj tetap dengan keimanannya mempertahankan Islam. Abu Amru beredar dengan kecewa kerana tiada yang mahu bersamanya.
Wanita-wanita Quraisy yang diketuai oleh Hindun Binti Utbah isteri Abu Sufyan memukul gendang dan melaungkan kata-kata semangat kepada pasukan tentera. Antara laungkan semangat mereka adalah,
“Kalau kamu menang kamu ditunggu dengan layanan istimewa tetapi kalau kamu lari dan kamu kalah kami tidak akan kenal kamu lagi.”
Turut serta dalam peperangan adalah seorang hamba lelaki kulit hitam yang dimiliki oleh Jubair bin Mut’im bernama Wahsyi. Beliau seorang yang pakar dalam melontar lembing. Beliau telah ditawarkan pembebasan sekiranya berjaya membunuh Hamzah Bin Abdul Mutalib. Maka sebagai syarat merdeka dari menjadi hamba beliau bersetuju untuk melakukan satu misi sahaja iaitu membunuh Hamzah Bin Abdul Mutalib.
Saat pertempuran semakin hampir, kehangatan dan semangat tentera muslimin juga tidak sedikit pun goyah. Pasukan musuh yang sangat ramai jumlahnya tidak memberi kesan kepada keimanan tentera muslmin. Tiada lagi makna pujukan dan tawaran dari mana-mana Quraisy yang mampu membeli iman mereka.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir