Abu Sufian tiba di Mekah dan bertemu dengan pemimpin-pemimpin kafir Quraisy. Lalu mereka segera bertanya kepada beliau apakah perkembangan setelah menuju ke Madinah. Abu Sufian menceritakan kepada mereka beliau telah berjumpa setiap orang yang rapat dengan Baginda untuk menyampaikan hasrat menyambung perdamaian namun tidak ada seorang pun yang mahu membantu beliau.
Akhirnya yang agak berlembut adalah Ali bin Abi Talib yang memberi cadangan agar beliau mengistiharkan perdamaian secara terbuka. Mereka bertanya adakah berhasil nasihat Ali bin Abi Talib itu? Dijawab oleh Abu Sufian tidak ada apa-apa kesan. Mendengar jawapan Abu Sufian mereka berkata Abu Sufian telah dipermainkan oleh Ali bin Abi Talib. Namun Abu Sufian tidak bersetuju dengan kata-kata mereka bahkan beliau menjelaskan itulah satu-satunya peluang yang beliau ada sebelum kembali ke Mekah.
Pihak kafir Quraisy sudah buntu dan tidak tahu bagaimana mahu berdalih lagi akibat perlanggaran perjanjian yang mereka sendiri rangka dan paksa ke atas Baginda untuk menerimanya. Kini perlanggaran perjanjian merupakan musibah yang sedang menanti masa untuk sampai ke Mekah. Ketakutan mula menyelubungi mereka.
Pada masa yang sama Rasulullah s.a.w telah terlebih dahulu meminta Aisyah menyiapkan kelengkapan peralatan perang Baginda. Aisyah sendiri tidak mengetahui ke mana sebenarnya halatuju Baginda apabila meminta beliau menyiapkan segala persiapan perang. Satu hari Abu Bakar datang ke rumah Aisyah dan melihat anaknya sedang sibuk menyediakan peralatan perang. Beliau lantas bertanya untuk apa persiapan perang ini dan ke mana sebenarnya Baginda hendak tuju. Abu Bakar bertanya dengan Aisyah berteka teki adakah Baginda mahu memerangi Rom, kabilah Hawazin atau kafir Quraisy. Semua pertanyaan Abu Bakar dijawab oleh Aisyah beliau tidak mengetahuinya.
Pada waktu subuh keesokkanya Amru Bin Salim bersama dengan 40 orang tiba menghadap Baginda menceritakan pengkhianatan dan pembunuhan Bani Khuzaah oleh kafir Quraisy dan Bani Bakar. Maknanya Baginda sememangnya sudah bersedia untuk menggempur Mekah sebelum kedatangan Abu Sufian lagi ke Madinah. Cumanya tindakan yang akan diambil Baginda ini tidak dihebahkan kepada sesiapa pun.
Abu Bakar bertanya kepada Baginda tujuan persiapan kelengkapan senjata perang dan dijawab oleh Baginda sasarannya adalah kafir Quraisy. Abu Bakar berkata bagaimana boleh memerangi kafir Quraisy sedangkan ada perjanjian yang telah dimeterai bersama. Baginda menjelaskan mereka telah melanggar perjanjian tersebut maka isi kandungan perjanjian telah terbatal dengan sendirinya.
Seterusnya Baginda mengarahkan para Sahabat membuat persiapan perang dan Baginda merahsiakan lokasi yang hendak dituju agar pihak kafir Quraisy tidak menyedari kedatangan Baginda dan tenteranya. Berkata Baginda, “Rahsiakan berita ini agar tidak sampai ke pengetahuan Quraisy supaya dapat kita gempur dan kejutkan mereka dengan kedatangan kita ke sana secara mendadak.”
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir