Seruan Dakwah Kepada Raja-Raja.(samb)
Warkah seterusnya adalah kepada Raja Mesir iaitu Juraij Bin Matta yang dikenali dengan gelaran al-Muqawqis. Sahabat bernama Hatib Bin Abi Balta’ah dan ditemani oleh Jira iaitu anak angkat kepada Abu Raha Al-Ghifari menjadi wakil Baginda untuk membawa warkah bertemu al-Muqawqis.
Setibanya Hatib Bin Abi Balta’ah beliau berkata kepada al-Muqawqis,
"Pemerintah sebelum kamu ini telah mendakwa dirinya sebagai Tuhan tertinggi maka Allah mengutuknya di dunia dan akhirat. Akibatnya Allah menghukum ke atasnya dengan bala dan azabNya. Di harap kamu boleh mengambil pengajaran darinya dan jangan biarkan diri kamu menjadi bahan pengiktibaran orang kemudian."
Sebaik mendengar kata-kata hebat dan tanpa gerun Hatib Bin Balta’ah maka berkatalah Raja Mesir ini, "sebenarnya kami ada agama pegangan tersendiri, kami tidak akan meninggalkannya kecuali kepada ajaran yang lebih baik darinya."
Hatib Bin Abi Balta’ah meneruskan kata-katanya, "kami menyeru kamu kepada agama Islam di mana Allah memberi jaminan penyempurnaannya dengan yang tidak terdapat pada ajaran-ajaran lain, sesungguhnya Nabi ini menyeru manusia kepadanya. Kaum Quraisy adalah penentangnya yang paling kuat, sejahat-jahat seterunya adalah kaum Yahudi dan yang terdekat kepadanya adalah kaum Nasrani. Demi usiaku ini sesungguhnya berita baik Musa tentang Isa adalah sama seperti berita baik Isa tentang Muhammad. Kami menyeru kamu kepada al-Quran, sama seperti kamu menyeru penganut-penganut Taurat kepada Injil. Setiap yang sempat dengan satu kaum yang sebelum maka kaum itu dianggap sebagai kaumnya yang wajib diseru kepada ajarannya dan mereka berkewajipan mentaatinya, kamu adalah di antara orang yang sempat dengan nabi ini. Kami tidak melarang kamu dari agama al-Masih (Isa) tetapi kami menyeru kamu beriman dengannya."
Maka berkata pula al-Muqawqis, "sesungguhnya telahpun aku merenung perkara Nabi ini, maka aku dapati dia tidak menyuruh perkara yang tidak disenangi dan tidak melarang perkara yang disenangi. Aku dapati dia bukanlah seorang ahli sihir yang sesat, bukan juga pawang yang pembohong. Aku juga dapati beliau ada tanda-tanda kenabian seperti merungkai rahsia yang tersembunyi serta memberitahu perkara berkaitan masa depan. Aku masih lagi akan memerhatikannya.”
Kemudian diberikan warqah Baginda kepada al-Muqawqis seperti berikut,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Daripada Muhammad hamba Allah dan RasulNya kepada al-Muqawqis pemerintah besar orang-orang Qibti. Salam sejahtera ke atas yang mengikut petunjuk. Adapun selepas itu, maka aku menyeru kamu dengan seruan Islam, anutilah Islam nescaya kamu selamat. Islamlah nescaya Allah berikan kamu dua kali ganda pahala. Sebaliknya kalau kamu berpaling, maka tanggunglah dosa orang Qibti semuanya. Wahai ahli kitab! Marilah kita kepada satu yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa kita tidak sembah kecuali Allah dan kita tidak persekutukannya dengan sesuatu dan tidak pula sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan melainkan Allah. Jika mereka berpaling, maka katakan kepada mereka: "Saksikanlah, bahawa kami adalah hamba yang menyerahkan diri kepada Allah".
Setelah membacanya lalu Raja Mesir ini meletakkan warkah Rasululllah s.a.w. ke dalam bekas yang diperbuat dari gading dan ditutup lalu diserahkannya kepada dayangnya. Kemudian dipanggil seorang untuk menulis warkahnya dalam bahasa arab untuk diberikan kepada Rasulullah s.a.w. Warqah tersebut adalah seperti berikut,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Untuk Muhammad bin Abdullah dari al-Muqawqis pembesar Qibti salam sejahtera ke atas mu. Ada pun selepas ini, telahpun aku baca suratmu dan aku faham segala yang tersurat di dalamnya juga dengan apa yang kamu serukan itu. Aku memang menyakini ada seorang lagi Nabi yang masih tinggal. Aku mengira ianya akan datangnya dari negeri Syam. Aku telah memuliakan utusan kamu, bersamanya aku kirimkan dua orang dayang untuk kamu, mereka berdua mempunyai kedudukan mulia pada orang-orang Qibti, juga beberapa helai kain serta aku hadiahkan seekor baghal untuk kamu tunggangi dan salam ke atas kamu.
Raja Mesir ini tidak menyatakan keislamannya dan tidak jelas sama ada beliau memeluk Islam kemudiannya atau sebaliknya. Dua dayang yang diberikan sebagai hadiah adalah Mariah dan Sirin. Baginda mengahwini Mariah dan beroleh anak lelaki bernama Ibrahim yang meninggal sewaktu kecil. Manakala Sirin diberikan kepada Hassan Bin Tsabit al-Ansari
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir