Peperangan Zat al-Salasil (samb)
Pasukan tentera Abu Ubaidah al-Jarrah tiba dan bergabung dengan pasukan tentera Amru bin al-As. Apabila masuk sahaja waktu solat Abu Ubaidah al-Jarrah maju ke hadapan untuk mengimamkan solat namun ditegur oleh Amru bin al-As dengan berkata kepadanya, “Wahai Abu Ubaidah, kamu sebagai pasukan bantuan kepada aku maka akulah yang memimpin solat.”
Abu Ubaidah al-Jarrah akur kepada kata-kata Amru bin al-As bahkan itulah pesanan Baginda kepada Abu Ubaidah al-Jarrah agar tidak menyalahi arahan Amru bin al-As. Perjalanan diteruskan oleh pasukan tentera ini pada waktu malam menuju ke Qudhaah dalam keadaan cuaca sejuk. Apabila tiba pasukan tentera hendak menyalakan api kerana cuaca sejuk namun dilarang oleh Amru. Umar al-Khattab berkata kepada Amru bin al-As biarlah tentera menyalakan unggun api kerana mereka kesejukkan namun tetap dilarang oleh beliau.
Apabila menjelang pagi Umar al-Khattab melihat pula Amru bin al-As bertayammum sedangkan terdapat air untuk berwuduk. Amru bin al-As menyatakan beliau berhadas besar dan tidak mungkin baginya mandi hadas dalam keadaan cuaca yang terlalu sejuk. Seterusnya beliau mengimamkan solat subuh. Para Sahabat merasa tidak senang hati dengan tindakan Amru bin al-As namun mereka tetap taat kerana ianya adalah perintah Baginda.
Tindakan Amru bin al-As diadukan Umar al-Khattab kepada Abu Bakar As Siddiq. Namun Abu Bakar berkata kepada Umar al-Khattab sekiranya Amru bin al-As bukan orang yang paling layak memimpin pasukan ini pastinya Baginda tidak melantik beliau. Mendengarkan kata-kata Abu Bakar maka Umar al-Khattab menerimanya dengan tenang.
Seterusnya persiapan untuk menyerang musuh diatur oleh Amru bin al-As. Bagaimanakah strategi yang dilakukan?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir