Rombongan Sahabat Dari Habsyah Tiba
Peperangan Khaibar selesai dengan jumlah tentera muslimin yang syahid 16 orang manakala di pihak musuh pula yang terbunuh adalah 93 orang. Kegembiraan bagi umat Islam kerana akhirnya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah telah dapat dirasai. Pada waktu yang sama sebahagian para Sahabat termasuk keluarga Abu Musa Al Asya’ri yang telah berhijrah ke Hasyah tiba di Khaibar dengan pimpinan Jaafar bin Abi Talib iaitu supupu Baginda. Jaafar bin Abi Talib dan rombongannya telah tinggal hampir 10 tahun di Habsyah dan kembali ke Madinah pada tahun ke 7 Hijrah.
Rasulullah s.a.w amat gembira apabila melihat Jaafar bin Abi Talib tiba di Khaibar sehingga berkata Baginda :
“Demi Allah aku tidak tahu mana satu yang hendak aku bergembira kerananya sama ada pembukaan Khaibar atau kepulangan Jaafar?”
Rombongan Jaafar bin Abi Talib tiba setelah Baginda mengutuskan Amru Bin Umayyah al-Dhumri kepada Raja Najasyi di Habsyah agar menghantar mereka pulang ke Madinah. Raja Najasyi telah menyediakan dua buah kapal untuk membawa 16 orang bersama anak-anak dan isteri mereka belayar ke Madinah. Manakala rombongan sebahagian yang lain dari Habsyah telah pun tiba sebelum itu.
Apabila rombongan Jaafar bin Abi Talib berada bersama Baginda, maka agihan pembahagian harta Khaibar diberikan kepada mereka. Pada asalnya Baginda tidak memberi harta Khaibar kepada selain yang menyertai perjanjian Hudaibiyah namun keistimewaan diberikan kepada mereka yang datang ke Khaibar untuk berperang tetapi peperangan telah selesai.
Kini semua penempatan Yahudi yang lain telah dikuasai sepenuhnya termasuk kubu Yahudi Fadak, Wadi Qura dan Taima tunduk kepada pemerintahan Baginda.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir