Khalid Bin Al Walid yang mengetuai pasukan berkuda beberapa kali cuba merempuh medan Uhud tetapi gagal dihalang oleh pasukan pemanah dari kalangan tentera Islam yang berada di atas bukit. Baginda Rasul telah menyusun pasukan pemanah yang berjumlah 50 orang pada kedudukan yang sangat strategik. Cubaan untuk merempuh pasti dihujani dengan anak-anak panah. Akhirnya Khalid Bin Al Walid dan pasukannya tidak dapat mara untuk melakukan serangan.
Di medan pula tentera kafir Quraisy sudah letih bertempur dengan para tentera muslimin. Ketangkasan para panglima Islam tidak dapat ditandingi lagi sehingga apa jua pakaian besi yang dipakai tidak dapat mempertahankan diri dari serangan tentera Islam. Sebagai contoh seorang tentera musuh yang memakai baju besi dan pedang yang panjang serta menunggang unta telah mencederakan ramai dikalangan tentera muslimin.
Belum sempat pedang mereka singgah ditubuh beliau pedangnya telah mendahului mengena tubuh tentera muslimin. Lalu perkara ini disampaikan kepada Baginda maka ditawarkan oleh Baginda siapa yang mahu menghadapi musuh ini. Tawaran Baginda telah disahut oleh Zubair Al Awwam. Lalu bersabda Baginda “wahai Zubair jika kamu tidak menyahut tadi nescaya aku yang akan menghadapi orang ini.”
Berkata Zubair, “aku menghampiri orang ini dan aku mencari ruang di mana aku boleh membunuhnya namun aku dapati tiada ruang terbuka untuk membunuhnya. Lalu aku berpusing kelilingnya dan bila berada dibelakang untanya, aku tikam untanya dan aku lompat ke atas untanya dan menolaknya ke bawah. Apabila dia jatuh aku tikam dengan gerambit dan berjaya membunuhnya.” Begitulah kehebatan Zubair dalam menghadapi musuh.
Kegembiraan tentera muslimin melihat pasukan musuh lari dan mereka mengejarnya serta mula mengumpul harta yang ditinggalkan oleh musuh. Pasukan pemanah yang berada di atas bukit juga melihat dan menyangka peperangan telah tamat. Mereka mulai turun dari bukit tetapi di tegah oleh Abdullah Bin Jubair dengan berkata, “Rasulullah s.a.w arahkan kita jangan bergerak dari sini.”
Mereka menjawab dengan berkata, “itu ketika peperangan belum tamat sekarang sebaliknya peperangan telah tamat dan tentera kafir telah lari.”
Mereka mulai turun dan hanya tinggal 9 orang sahaja yang tetap diatas bukit. Khalid Al Walid memerhati dari jauh dan mula menyusun strategi baru....
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir