Selepas solat subuh Amru bin al-As melancarkan serangan ke Qudhaah. Serangan ini tidak di sangka-sangka oleh tentera musuh menyebabkan tentera dan penduduk semuanya bertempiaran lari dengan meninggalkan penempatan dan harta mereka. Jumlah kematian tentera Qudaah agak ramai manakala di pihak muslimin tiada dinyatakan jumlah yang syahid.
Amru bin al-As tidak mengizinkan tentera muslimin mengejar tentera musuh yang melarikan diri. Ini menimbulkan satu lagi kehairanan buat para Sahabat namun mereka tetap taat kepada arahan beliau. Seterusnya Amru bin al-As telah mengutuskan Auf bin Malik kepada Baginda di Madinah membawa berita tentang kemenangan tentera muslimin dalam peperangan ini. Selepas tiba di Madinah para Sahabat mengadu hal tentang arahan Amru bin al-As yang agak janggal dalam misi peperangan Zat al-Salasil iaitu berkaitan:
Tidak membenarkan nyalaan unggun api walaupun para tentera dalam kesejukkan.
Amru bin al-As bertayammun walaupun ada air dan mengimamkan solat subuh.
Melarang tentera muslimin mengejar tentera musuh yang melarikan diri.
Baginda selanjutnya memanggil Amru bin al-As dan meminta penjelasan beliau tentang hal ini. Lalu Amru bin al-As pun menjelaskan satu persatu kepada Baginda.
Beliau tidak membenarkan pasukan tentera muslimin menyalakan unggun api kerana jumlah tentera muslimin sedikit berbanding tentera musuh. Sekiranya unggun api dinyalakan pasukan musuh akan menyedari kedatangan tentera muslimin dan pastinya musuh akan sedar dan bertindak dengan melakukan serangan.
Persoalan kenapa beliau bertayammum sedangkan adanya air untuk mandi hadas. Beliau menjelaskan sekiranya beliau mandi hadas pasti beliau akan kesejukkan dan memberi kesan mudharat pada tubuhnya. Bukankah Allah melarang manusia untuk membinasakan dirinya.
Larangan mengejar musuh pula dijelaskan oleh beliau kepada Baginda, jumlah tentera muslimin adalah sedikit. Jika pasukan muslimin mengejar musuh akan menyebabkan pasukan tentera terpisah dari kumpulan dan akan nampak secara jelas bilangan mereka yang sedikit berbanding dengan musuh. Jika musuh menyedarinya pasti mereka akan melakukan serangan balik dan ini akan menimbulkan masalah besar kepada keselamatan tentera muslimin.
Semua jawapan Amru bin al-As diterima baik oleh Baginda. Di sini sudah jelas kepintaran Amru bin al-As memimpin tentera muslimin. Bahkan ianya juga menunjukkan kebijaksanaan Baginda memilih pemimpin bagi mengetuai peperangan Zat al-Salasil.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir