Perang Badar
Nekad Abu Jahal untuk meneruskan peperangan tidak dapat dibendung lagi. Api kemarahan dan syaitan telah sebati dalam dirinya. Namun rombongan dari Bani Zuhrah menarik diri dan tidak mahu meneruskan peperangan setelah mendapat isyarat dari Abu Sufyan bahawa rombongan dagangnya telah selamat hampir sampai ke Mekah. Dengan ini jumlah rombongan Bani Zuhrah seramai 300 orang balik ke Mekah meninggalkan Abu Jahal.
Bani Hashim juga berangkat pulang ke Mekah dan tidak berhasrat meneruskan peperangan dengan keturunannya kecuali beberapa orang yang menyebelahi Abu Jahal. Kini tentera musyrikin sudah berkurang menjadi 1000 orang yang akan meneruskan perjalanan untuk berperang dengan rombongan Baginda.
Abu Jahal terus menerus menyemarakkan api pemusuhan dan mengungkit keturunan dikalangan Quraisy yang perlu dibela dan diletakkan ditempat yang mulia. Sebenarnya itulah hasutan iblis kepada mereka. Akhirnya tentera Abu Jahal kekal dan bersedia untuk berperang dan mereka terus berjalan mencari di mana tempat perkhemahan rombongan Baginda.
Pada masa yang sama Baginda dan Abu Bakar keluar mencari maklumat dan mereka mendapat berita tentang kafir Quraisy sedang bergerak mencari rombongan kaum muslimin untuk berperang. Meneliti maklumat yang diperolehi maka Baginda membuat keputusan untuk terus mara dan menghadapi tentera musyrikin Quraisy. Keputusan yang sukar ini terpaksa diambil bagi memastikan beberapa perkara:
1. Peperangan yang akan dimulakan oleh kafir Quraisy tidak akan berhenti jika Baginda berundur.
2. Maruah Islam akan tercemar dan kafir Quraisy akan merasakan mereka kuat serta akan terus mara ke pintu kota Madinah jika rombongan kaum muslimin berundur.
3. Kuasa politik Islam yang dipimpin oleh Baginda tidak mampu memberi perlindungan kepada wilayah Islam jika pilihan berundur diambil kerana keyakinan para kabilah sekitar Madinah akan terjejas.
4. Sejauh mana keyakinan rombongan kaum muslimin mampu dan sanggup untuk berubah dan mematuhi arahan untuk menjadi tentera mempertahankan Islam.
5. Musuh perlu dihadapi walaupun bilangannya lebih ramai dan lengkap bersenjata kerana tentera muslimin mempunyai senjata yang lebih besar iaitu pertolongan Allah.
Setelah keputusan dicapai dalam perbincangan Baginda dan tentera muslimin untuk terus menghadapi musuh dalam peperangan. Ada jiwa yang bergoncang apabila mendengar tentang peperangan kerana ianya melibatkan soal hidup dan mati. Apatah lagi pada awalnya mereka sedikit pun tiada terlintas untuk berperang hanyalah untuk menghalang rombongan dagang Abu Sufyan dan merampas barang dagangannya. Tentulah ianya lebih mengembirakan berbanding mempertaruhkan nyawa di medan perang. Allah menegur sikap orang beriman dalam firmannya,
وَإِذْ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ أَنَّهَا لَكُمْ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيْرَ ذَاتِ الشَّوْكَةِ تَكُونُ لَكُمْ وَيُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُحِقَّ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ وَيَقْطَعَ دَابِرَ الْكَافِرِينَ
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan kalimah-kalimahNya dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya. (Al Anfal 8:7)
Seterusnya Baginda memberi peluang kepada para sahabat untuk memberi cadangan. Mereka hanya berdiam diri dan tidak memberi pandangan kerana beranggapan wahyu akan datang membantu mereka menyusun strategi perang. Tetapi dijelaskan oleh Baginda bahawa peperangan adalah strategi dan perancangan yang tidak memerlukan penurunan wahyu untuk mengajar mereka hal yang berkaitan dengan urusan dunia. Dengan itu para sahabat telah memberi beberapa pandangan dan cadangan bagaimana untuk menyusun strategi yang tepat dan berkesan bagi memastikan kemenangan.
Apakah seruan para sahabat?
Insya Allah bersambung esok.
Ust. Sabir