Permulaan Perang Badar
Pada tahun ke 2 Hijrah bulan Ramadan berlaku peperangan pertama dalam sejarah Islam. Peperangan ini adalah perang Badar yang pada awalnya bukanlah rancangan Baginda untuk berperang dengan Quraisy. Rasulullah s.a.w hanya merancang untuk menyekat barang dagangan yang dipimpin oleh Abu Sufyan Bin Har. Rombongan ini membawa 1000 ekor unta dan tidak kurang dari 50 ribu dinar emas yang diawasi oleh 40 orang lelaki yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Jumlah barang dagangan yang dibawa pulang oleh Abu Sufyan dari Syam merupakan satu kekuatan ekonomi bagi penduduk Mekah. Jika sekatan berlaku maka ekonomi Mekah akan tergugat.
Sekatan oleh Baginda untuk memberi kesan ekonomi dan politik kepada Quraisy. Sebelum ini mereka juga telah mengambil harta dari kalangan penduduk Mekah yang telah berhijrah ke Madinah. Apabila Islam semakin kuat maka tiada istilah membenarkan penindasan kepada umat Islam. Mengiktiraf Madinah sebagai satu negara yang berdaulat dan kuat adalah penting dalam politik di tanah Arab.
Baginda telah menyeru penduduk Madinah sesiapa yang mahu turut serta bersama Baginda untuk menyekat rombongan Quraisy. Namun ianya bukanlah satu perintah yang wajib sebab itu tidak ada hukuman bagi mereka yang tidak turut serta. Antara yang disebut oleh Baginda, “ini dia kabilah Quraisy yang penuh dengan harta mereka, ayuh keluarlah kamu semoga Allah menjadikannya sebagai harta rampasan untuk kamu."
Peluang ini telah diambil oleh para sahabat dengan membuat persiapan untuk bersama Baginda tetapi bukanlah persiapan untuk berperang. Jumlah yang turut serta berjumlah 313 orang, 82 dari kalangan muhajirin, 61 orang dari Aus dan 170 dari Khazraj manakala unta yang dibawa untuk tunganggan secara bergilir adalah 70 ekor.
Dua orang wakil Baginda iaitu Talhah bin Abdullah dan Said bin Zaid menjadi pengintip untuk mengetahui pergerakkan kaum Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Manakala di pihak Abu Sufyan beliau juga telah mengirim perisiknya untuk memastikan keselamatan rombongan dagangnya balik ke Mekah. Beliau telah mendapat berita tentang rancangan Baginda untuk menyekat rombongan dagangnya. Maka bermulalah strategi Abu Sufyan untuk mengelakkan dari bertembung dengan Baginda.
Pada masa yang sama Baginda dan rombongannya telah bergerak menuju ke Badar iaitu laluan yang akan dilalui oleh Abu Sufyan. Menyedari rombongan kaum muslimin memang sudah nekad untuk menyekat beliau maka telah dikirimkan wakilnya iaitu Dham Dham Bin Amr iaitu seorang yang strategis dalam perang saraf ke Mekah untuk mendapat bantuan. Dham Dham telah menunggang unta dan menuju ke Mekah. Namun sebelum tiba memasuki kota Mekah beliau telah mencederakan untanya dan dirinya serta memakai pakaian secara terbalik bagi mengambarkan seolah-olah telah berlakunyay peperangan.
Beliau telah menjerit meminta tolong di Mekah dan dengan gaya lakonan yang memberi keyakinan, beliau telah berjaya mengabui kafir Quraisy bahawa peperangan besar telah meletus. Akibat dari terpedaya dengan propaganda ini, maka kafir Quraisy segera membuat persiapan tentera untuk berhadapan dengan kumpulan muslimin. Antara yang tidak turut serta untuk berperang adalah Abu Lahab dan Bani Adi yang seorang pun tidak bersama dalam pasukan tentera kafir Quraisy.
Rombongan tentera dari Mekah adalah 1300 tentera, 100 ekor unta, 600 perisai dan jumlah unta yang dijadikan sebagai sembelihan untuk makanan yang tidak diketahui jumlahnya. Abu Jahal telah memimpin pasukan ini bagi memastikan Baginda dan umat Islam tewas.
Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir