Hindun binti Utbah, beliau adalah isteri kepada Abu Sufyan dan ibu kepada Muawiyah bin Abu Sufyan iaitu Khalifah selepas Ali bin Abi Talib. Pada awal penyebaran Islam beliau adalah wanita yang paling lantang menghina Rasulullah s.a.w dan Islam. Dalam peperangan Badar bapanya dan ahli keluarganya terbunuh di medan perang. Beliau telah turut serta dalam peperangan Uhud dan menjadi petugas yang memberikan kata-kata semangat kepada tentera musyrikin.
Abu Sufyan telah menerima Islam pada awal pembukaan kota Mekah tetapi Hindun binti Utbah masih dalam keadaan kafir. Setelah beberapa hari beliau melihat Baginda dan para sahabat solat dan tawaf pada waktu malam hari hingga ke subuh maka tergerak hatinya untuk masuk Islam.
Beliau telah bertemu Abu Sufyan dan menyatakan hasratnya untuk bertemu Baginda dan berbaiah (berjanji untuk taat) menerima Islam. Abu Sufyan pada mulanya agak terkejut dengan hasrat isterinya itu kerana sebelum ini hatinya amat keras penentangan terhadap Islam.
Abu Sufyan telah meminta Utman bin Affan untuk membawa isterinya dan beberapa lagi wanita untuk bertemu Baginda yang berada di bukit Sofa bagi berbaiah menerima Islam. Hindun binti Utbah telah datang dengan menutup mukanya untuk bertemu Baginda. Ketika disampaikan kepada Baginda hasrat wanita-wanita yang datang ini maka berkatalah Baginda,
“ Kamu berbaiah dengan aku supaya kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan suatu apapun.”
Hindun lantas bersuara dengan berkata, “Wahai Rasulullah kalau benarlah berhala-berhala itu Tuhan pastilah kami telah dibantu.”
Mendengar suara itu, Baginda bertanya, “Adakah itu suara Hindun?”
Hindun terus berkata, “Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan kamu adalah Rasulullah.”
Kemudian Baginda memaafkan Hindun. Baginda meneruskan ucapannya dengan memberi beberapa perkara penting tatacara hidup muslim.
“Kamu tidak akan berzina dan melakukan maksiat dengan tangan dan kaki kamu.”
Hindun bertanya Baginda, “Adakah wanita yang merdeka berzina.” Beliau bertanya kerana dalam budaya masyarakat Arab wanita yang merdeka biasanya tidak berzina.
Baginda meneruskan ucapannya, “Jangan kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan.”
Hindun menyampuk lagi, “ Kami membesarkan anak-anak kami dari kecil tetapi kamulah yang membunuh mereka di Badar.”
Baginda tersenyum mendengar kata-kata Hindun. Berkata Baginda, “Allah yang mematikan mereka.”
Setelah wanita-wanita ini selesai berbaiah kemudian Hindun berkata lagi,
“Wahai Rasulullah sebelum ini tidak ada sesiapa pun di bumi yang paling aku berharap kehinaan melainkan kamu. Namun kini tiada siapa di bumi ini yang aku inginkan kemulian melainkan kamu ya Rasulullah.”
Hindun binti Utbah meninggal dunia semasa zaman pemerintahan Uthman bin Affan. Seorang wanita yang keras hatinya menjadi lembut melihat Baginda dan para sahabat melaksanakan ketaatan kepada Allah. Ibadah yang dilakukan dengan penuh ketundukan dan adab tidak seperti mana peyembahan kepada berhala. Hidayah milik Allah.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir