Setibanya Ali bin Abi Talib dan Miqdad di Raudhah Khak mereka bertemu wanita tersebut dan memintanya turun dari kederaannya. Ali bin Abi Talib meminta wanita tersebut menyerahkan surat yang hendak dibawa ke Mekah. Wanita tersebut menafikan dia membawa apa-apa surat untuk dibawa ke Mekah. Lalu mereka berdua memeriksa kenderaan wanita itu dan tidak menjumpai apa-apa surat. Tetapi Ali bin Abi Talib sangat yakin kepada kata-kata Baginda dan tidak berganjak dengan helah wanita ini sehingga Ali bin Abi Talib berkata kalau dia tidak serahkan nescaya mereka berdua sanggup menelanjangkan wanita tersebut untuk mencari surat itu. Wanita itu menjadi takut melihat kesungguhan mereka berdua. Kemudian dia meminta mereka berpaling lalu beliau membuka sanggulnya dan mengeluarkan surat yang di simpan di situ.
Surat tersebut diambil oleh Ali bin Abi Talib. Seterusnya mereka berdua terus menuju ke Madinah membawa surat tersebut untuk diserahkan kepada Baginda. Baginda membaca surat tersebut yang ditulis oleh Hatib bin Abi Baltaah untuk makluman Quraisy mengenai pergerakan Baginda ke Mekah. Baginda memangil Hatib bin Abi Baltaah dan menunjukkan surat itu dan bertanya kepada beliau,
“Apakah tujuan kamu menulis surat ini kepada Quraisy?
Hatib bin abi Baltaah menjawab, “Wahai Rasulullah janganlah segera menghukum aku. Demi Allah aku tetap beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Tidak sesekali aku murtad atau menukar agamaku. Kamu semua mempunyai keluarga di Mekah dan ada yang melindungi mereka namun aku mempunyai keluarga di Mekah tetapi tiada siapa yang melindungi mereka kecuali Quraisy. Aku mahu mereka melindungi ahli keluargaku”
Mendengar kata-kata Hatib bin Abi Baltaah tiba-tiba Umar bersuara dengan berkata kepada Rasulullah s.a.w,
“Wahai Rasulullah serahkan sahaja dia kepadaku biar aku pancung lehernya. Dia sudah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya. Dia sudah menjadi seorang munafik.”
Baginda lantas berkata, “Biarkan beliau wahai Umar. Beliau adalah ahli Badar (turut serta dalam perang Badar) semuga Allah mengampuni semua ahli Badar dan aku telah mengampunkannya. Buatlah apa yang kamu mahu.”
Hatib bin Abi Baltaah menangis mendengar kata-kata Baginda. Walaupun tindakannya satu bentuk “pengkhianatan” namun sedikit pun Baginda tidak marah kerana mengenangkan beliau turut serta dalam peperangan pertama umat Islam iaitu perang Badar. Baginda seorang yang fokus dengan apa yang hendak dicapainya. Apabila Baginda sudah berjaya menghalang maklumat sampai ke Quraisy maka tiada apa yang lebih utama melainkan meneruskan agenda yang lebih besar iaitu menawan Mekah.
Baginda dan para tentera mula bergerak meninggalkan Madinah menuju ke Mekah. Jumlah tentera yang bersama Baginda sudah meningkat kepada 10,000 orang hasil gabungan beberapa lagi kabilah seperti Bani Sulaim dan kabilah-kabilah yang lain. Kekuatan Islam semakin terserlah bayangkan jumlah ini bergerak di padang pasir seperti lebah yang sedang bergerak dalam satu kawanannya.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir