Abu Sufian mengenali suara Abbas, kemudian beliau bertanya apa berita yang diketahui olehnya. Abbas berkata kepada Abu Sufian,
“Aku membawa berita Muhammad dan tenteranya telah tiba untuk memerangi kamu. Demi Allah jika Muhammad dihalang masuk Mekah dengan cara kekerasan pasti Quraisy akan musnah.”
Abu Sufian amat mempercayai Abbas maka beliau yakin setiap kata Abbas itu bukan satu perkara yang boleh di pandang ringan. Maka Abu Sufian bertanya kepada Abbas,
“Apa pandangan kamu wahai Abbas apa yang perlu kita buat?”
Kata Abbas, “Mari ikut aku kita bertemu Muhammad.”
Abbas membawa Abu Sufian mengenderai baghal milik Baginda untuk menuju ke khemah Rasulullah s.a.w. Dalam perjalanan ini mereka telah berselisih dengan Umar al-Khattab dan Umar melihat dan mengenali Abu Sufian. Lalu berkata Umar kepada Abu Sufian,
“Abu Sufian ketua kafir Quraisy Mekah, tiada keamanan lagi buat kamu dan tiada lagi perjanjian.”
Abbas segera mempercepatkan baghal yang ditunggangi mereka agar segera melepasi Umar untuk sampai ke khemah Baginda. Setibanya di khemah Baginda Umar segera masuk dan berkata kepada Baginda,
“Wahai Rasulullah ini Abu Sufian biar aku pancung lehernya.”
Abbas segera berkata, “Wahai Rasulullah dia dibawah jaminan aku.”
Umar dihalang untuk membunuh Abu Sufian oleh Baginda walaupun pedang Umar sudah dihunus.
Rasulullah s.a.w bertanya kepada Abu Sufian, “ Wahai Abu Sufian masihkah kamu tiadak mahu mengakui Tiada Tuhan Melainkan Allah?”
Jawab Abu Sufian, “Demi Allah sekiranya ada Tuhan selain Allah demi Allah dia akan menolong kami hari ini.
Rasulullah s.a.w berkata pula, “Apakah belum masa untuk kamu mengakui aku sebagai seorang utusan Allah?
Jawab Abu Sufian, “Aku masih ada keraguan tentang hal itu dalam hatiku.”
Kemudian berkata Abbas, “Masuklah Islam wahai Abu Sufian. Demi Allah Rasulullah s.a.w akan masuk Mekah dengan kekerasan ianya akan jadi satu penghinaan buat Quraisy buat selama-lamanya dalam lipatan sejarah. Islam sudah berkembang dan menang apakah kamu masih meraguinya?
Abu Sufian tidak ada pilihan lagi, akhirnya beliau mengucap syahadah masuk Islam namun masih belum lagi sepenuhnya keyakinan masuk ke dalam hatinya. Baginda mengarahkan Abbas membawa Abu Sufian bermalam di khemahnya dan keesokkan paginya Baginda meminta dibawa Abbas bertemu dengannya.
Apa pula yang berlaku keesokkanya? Bersambung. Insya Allah.
Ust. Sabir