Israk dan Mikraj (samb)
Semasa di Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah s.a.w. telah melalui dan diperlihatkan beberapa perkara antaranya,
1. Baginda telah diberi pilihan susu dan khamar (arak) namun Baginda telah memilih susu. Disebutkan kepada Baginda, “kamu telah ditunjukkan fitrah dan kamu memilih fitrah sebaliknya jika kamu memilih khamar nescaya binasalah ummat kamu.
2. Ditunjukkan kepada Baginda sungai di dalam syurga seperti diriwayatkan dari Nabi s.a.w Baginda bersabda: “Pada malam aku di jalankan (Israk) ke langit, telah diperlihatkan kepadaku seluruh syurga, maka aku melihat 4 buah sungai, yang pertama sungai dari air yang tidak berubah warnanya, kedua sungai dari susu yang tidak pernah berubah rasanya, dan ketiga sungai dari arak (khamar) dan yang keempat sungai dari madu yang sangat sedap. Sebagaimana firman Allah,
ۖ فِيهَا أَنْهَارٌ مِنْ مَاءٍ غَيْرِ آسِنٍ وَأَنْهَارٌ مِنْ لَبَنٍ لَمْ يَتَغَيَّرْ طَعْمُهُ وَأَنْهَارٌ مِنْ خَمْرٍ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ وَأَنْهَارٌ مِنْ عَسَلٍ مُصَفًّى ۖ
Maksudnya : Yang di dalamnya terdapat sungai-sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai- sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi orang yang meminumnya dan sungai- sungai dari madu yang bersih dan jernih.” (Muhammad 47: 15).
3. Baginda telah melihat malaikat Malik yang bertugas sebagai penjaga neraka yang tidak pernah senyum serta mukanya tiada sedikit pun mesra atau lembut. Seterusnya Baginda melihat syurga dan neraka.
4. Baginda juga melihat azab terhadap golongan yang memakan harta anak-anak yatim secara aniaya. Mulut mereka seperti mulut unta. Apabila dilontar ke dalam rahang mulut mereka ketulan-ketulan api neraka ianya seperti harimau meluru keluar dari dasar neraka keluar melalui dubur mereka.
5. Baginda menyaksikan azab terhadap pemakan riba dengan perut yang besar, akibatnya mereka tidak berupaya untuk bergerak dari tempat-tempat mereka.
6. Seterusnya Baginda melihat azab pula terhadap para penzina yang diletakkan di hadapan mereka daging-daging elok dan segar serta daging-daging buruk lagi busuk, namun mereka memilih dan memakan yang busuk serta meninggalkan daging yang segar.
7. Baginda juga diperlihatkan sekumpulan wanita yang memasuki di dalam majlis lelaki bukan anak-anak mereka, mereka digantung dari payudara-payudara mereka.
Ini antara yang diperlihatkan kepada Baginda semasa di Israk dan Mikraj oleh Allah. Setelah menerima perintah solat 5 waktu untuk ummat Muhammad akhirnya Baginda kembali ke Baitul Maqdis.
Dari Baitul Maqdis Baginda menuju ke kota Mekah. Semasa bergerak pulang Baginda telah melihat beberapa pemandangan dan peristiwa. Baginda telah melewati satu rombongan kabilah bersama unta yang sedang bergerak menuju ke Mekah. Apabila unta rombongan ini terlihat Buraq maka menjadi takutlah unta-unta ini sehingga bertempiaran lari dan bersembunyi. Kabilah ini mengejar dan cuba menangkap kembali unta-unta mereka tetapi tidak berjaya. Kemudian kabilah ini mendengar suara dari langit memberitahu di mana unta-unta mereka bersembunyi. Apabila mereka menuju ke tempat yang disebut itu terjumpalah kembali unta-unta ini. Mereka menjadi hairan dari mana suara ini datang.
Sebelum waktu Subuh Baginda sudah berada di kota Mekah kembali. Perjalanan Baginda tidak sampai sepenuh malam pun yang biasanya tidak akan mampu dilakukan oleh mana-mana manusia di zaman itu. Inilah satu anugerah hebat kepada Rasulullah s.a.w. Namun anugerah yang hebat pasti akan memikul tugas yang lebih berat. Bagaimanakah Rasulullah s.a.w boleh menyakinkan umat Islam dan kafir mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir