Perang Badar (samb)
Antara para sahabat yang memberi pandangan untuk bersama Baginda berperang adalah Abu Bakar dan Umar al Khattab. Mereka berdua telah memberi ikrar akan bersama dalam peperangan ini. Kemudian berkatalah seorang sahabat bernama Miqdad Bin Amru,
"Wahai Rasulullah teruskanlah sebagaimana yang telah Allah perlihatkan kepada tuan hamba. Sesungguhnya kami akan tetap bersama-sama tuan. Demi Allah, kami tidak akan berkata kepada tuan sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Bani Israel berkata kepada Musa: "Pergilah kamu bersama Tuhan kamu dan berperanglah kamu berdua dan kami akan tunggu di sini". Tetapi kami akan berkata: "Ayuh maralah kamu bersama Tuhan kamu dan berperanglah, sesungguhnya kami bersama kamu untuk berperang, demi Dia Tuhan yang telah mengutuskan kamu dengan kebenaran, seandainya kamu membawa kami ke "Birak al-Ghimad" nescaya kami bertempur bersama tuan tanpa menghiraukan apa-apa pun, sehinggalah kita sampai ke sana".
Mendengar kata-kata Miqdad, Rasulullah s.a.w membalas kepadanya dengan baik dan berdoa untuk beliau. Baginda telah mendengar pandangan sahabat dari kalangan Muhajirin yang merupakan jumlah teramai dalam kumpulan perang Badar ini. Lalu Baginda mahu mendengar pandangan kaum Ansar pula. Mereka adalah kumpulan paling ramai mewakili umat Islam. Berkatalah Baginda, “wahai kalian berilah pandangan kamu.”
Kata-kata Baginda disahut oleh Saad Bin Muaz, “demi Allah seolah-olah tuan hamba memaksudkan kami (iaitu Ansar).”
Jawab Baginda, “ya.”
Maka berkatalah Saad, “sebenarnya kami telah pun beriman kepada mu ya Rasulullah, kami membenarkan mu, kami menjadi saksi apa yang dibawa oleh mu adalah kebenaran. Kami telah berjanji dengan kepercayaan kami untuk mendengar dan mentaati. Ayuh teruskanlah ya Rasulullah untuk mencapai apa yang kamu kehendaki. Demi Tuhan yang telah mengutus mu dengan kebenaran, seandainya kamu membawa kami mengharungi lautan nescaya kami harungi. Tidak ada seorang pun dari kami akan berkecuali. Kami akan senang hati bertemu dengan musuh pada esok hari. Kami adalah jenis yang sabar dan bertahan dalam peperangan. Bahkan kami penuh yakin untuk bertarung dengan musuh. Semuga Allah menyenangkan mata melihat. Ayuh bawalah kami ke hadapan penuh dengan keberkatan dari Allah.”
Di dalam riwayat yang lain menyatakan, Saad bin Muaz berkata kepada Rasulullah: "Boleh jadi tuan hamba merasakan bahawa pihak Ansar berpendapat sokongannya kepada tuan hamba hanya di perkarangan kampung mereka sahaja. Di sini hamba menegaskan bagi pihak Ansar dan menjawab bagi pihak mereka. Ayuh bergeraklah ke mana sahaja, hubungilah siapa yang tuan hamba suka, putuskanlah hubungan dengan sesiapa yang tuan hamba suka, ambillah harta kami sesuka tuan hamba, tinggalkanlah kadar mana harta harta itu kepada kami sesuka hati tuan hamba, sesuatu yang tuan ambil dari kami itu adalah paling kami senangi lebih dari apa yang tuan tinggalkan, sesuatu yang tuan perintahkan itu, maka urusan kami adalah ikutan kepada suruhan tuan itu. Demi Allah sekiranya tuan membawa kami untuk sampai di Birak al-Ghimad nescaya kami turuti. Dan Demi Allah seandainya tuan hamba membawa kami mengharungi lautan nescaya kami akan harungi".
Mendengar kata-kata ini maka Baginda merasa terharu dan terasa segar serta bertenaga. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Ayuh bergeraklah dan bergembiralah dengan berita baik kerana sesungguhnya Allah telah menjanjikan daku salah satu dari dua kelompok itu, demi Allah sekarang bagaikan daku sedang menyaksikan kemusnahan kaum musyrikin ".
Begitulah para sahabat Baginda dari kalangan Muhajirin dan Ansar tetap setia bersama Baginda. Keimanan yang berada di jiwa mereka tidak dapat digoncangkan dengan ketakutan lagi. Sanggup mereka mempertahankan Baginda dan Islam walaupun nyawa menjadi pertaruhan.
Kini janji setia telah terikat yang perlu seterusnya adalah strategi peperangan.
Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir