Abu Sufian menuju ke rumah anak perempuanya Ummu Habibah yang merupakan isteri Rasulullah s.a.w. Setibanya di rumah Ummu Habibah beliau berharap akan mendapat maklumat dan bertemu Baginda. Apabil beliau masuk dan hendak duduk di hamparan dalam rumah Ummu Habibah tiba-tiba segera digulung oleh Ummu Habibah. Abu Sufian merasa pelik dan bertanya kenapa hamparan itu digulung sedangkan beliau mahu duduk. Ummu Habibah berkata itu hamparan tempat duduk Baginda dan tidak layak bagi seorang musyrik yang kotor duduk di atas hamparan tersebut. Berkata Abu Sufian kepada anaknya setelah beliau meninggalkannya Ummu Habibah telah terkena sihir. Kemudian Abu Sufian keluar meniggalkan Ummu Habibah dan beliau menyedari anaknya pasti tidak akan membantunya bertemu Baginda.
Abu Sufian terus mencari Baginda dan bertemu dengan Baginda namun teguran Abu Sufian tidak diendahkan oleh Baginda. Seterusnya Abu Sufian pergi mencari Abu Bakar As Siddiq dan beliau mengetahui Abu Bakar paling rapat dengan Baginda. Permintaan Abu Sufian agar menyampaikan hasrat Quraisy untuk memperbaharui perjanjian dengan Baginda dimaklumkan kepada Abu Bakar. Namun Abu Bakar berkata beliau tidak boleh berbuat apa-apa untuk menolong Abu Sufian. Kecewa dengan jawapan Abu Bakar beliau lantas pergi pula mencari Umar al-Khattab.
Setibanya di hadapan Umar al-Khattab maka Abu Sufian meminta tolong Umar untuk menyampaikan hasratnya namun jawapan Umar lagi memedihkan hatinya. Umar berkata jika beliau tidak mempunyai apa-apa senjata pun hanya debu-debu sahaja pasti beliau akan memerangi kafir Quraisy. Kini Abu Sufian makin terdesak siapa lagi yang boleh membantunya. Kemudian beliau teringat kepada Ali bin Abi Talib maka terus beliau mencarinya.
Abu Sufian meminta bantuan dari Ali bin Abi Talib yang berkahwin dengan Fatimah anak Rasulullah s.a.w. Padanya Ali dan Fatimah antara yang paling rapat pasti mereka tidak akan mengecewakannya. Lalu diminta kepada Ali supaya menyampaikan hasrat Quraisy untuk memperbaharui perjanjian dengan Baginda. Ali dan Fatimah berkata urusan besar ini hanya hak Baginda dan tiada siapa yang berhak memujuk dan meminta Baginda menerima pandangan mereka.
Seterusnya tanpa berputus asa Abu Sufian bertemu pula dengan Usman bin Affan meminta bantuan beliau. Jawapan yang sama diperolehi oleh Abu Sufian iaitu urusan ini hak Baginda dan tiada siapa sepatutnya mendahului Baginda. Kemudian Abu Sufian kembali meminta pandangan Ali bin Abi Talib. Berkata Ali kepada Abu Sufian, sebagai pemimpin Mekah kamu istiharkanlah perdamaian di antara manusia. Maka Abu Sufian pergi ke masjid dan mendapati Baginda dan para Sahabat berada di samping Baginda. Lalu beliau pun berkata dengan kuat, “Aku Abu Sufian Ketua di Mekah. Aku Mengistiharkan perdamaian antara manusia dan aku merasakan tiada orang yang akan membatalkan perdamaian ini.”
Mendengar kata-kata Abu Sufian, lalu Baginda membalasnya, “Kamu yang berkata begitu wahai Abu Sufian tidak ada orang yang membatalkan perdamaian kamu. Namun kami tidak berkata begitu.”
Mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w maka berputus asalah Abu Sufian lalu beliau mengambil keputusan kembali ke Mekah untuk melaporkan hasil rundingannya yang gagal. Apakah reaksi pemimpin Quraisy? Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir