Setelah Mekah dan Madinah dikuasai Baginda, Islam diterima dengan meluas oleh pelbagai kabilah. Wakil-wakil dari kalangan Sahabat telah diutus Baginda seperti Al Ala bin Hadrami ke Bahrain, Muhajir bin Abi Umayyah ke San’a (Yaman), Malik bin Nuwairah kepada keturunan Hanzalah, Zaid bin Lubaid al-Ansari ke Hadramaut (Yaman) dan Udai bin Hatim kepada keturunan Ta’i.
Begitu juga Baginda telah mengutus Muaz bin Jabal dan Abu Musa al-Ansari kepada kabilah Bujailah dan kabilah Uzdi di Yaman pada tahun ke 10 Hijrah. Sebelum Muaz bin Jabal pergi Baginda berkata kepadanya,
"Wahai Muaz! Sebenarnya kamu mungkin tidak akan bertemu lagi dengan aku selepas tahun ini dan semoga kamu akan melalui di masjidku ini dan di kuburku ini".
Apabila mendengar kata-kata Baginda Muaz menangis dengan tangisan yang tidak dapat ditahan lagi kerana berpisah dengan Rasulullah s.a.w. Namun sebagai memenuhi perintah Rasul tiada yang dapat menghalang Muaz bin Jabal melainkan terus bergerak meninggalkan Baginda. Gambaran tentang tidak bertemu dengan Baginda lagi sudah mulai dirasakan olehnya.
Kini Baginda sudah dapat melihat Islam yang diperjuangkan oleh Baginda dan para Sahabatnya sudah diterima dengan baik, walaupun jalan dakwah yang telah dilalui penuh dengan rintangan. Terlalu banyak peristiwa yang telah ditempuhi oleh Baginda antaranya dipulau, dihina, dimalukan, disakiti dan dituduh dengan pelbagai fitnah.
Keluarga Baginda turut merasa perit dan susah payah semata-mata kerana mempertahankan Baginda. Sahabat-sahabat Baginda ada yang disiksa, dibunuh, dipisahkan, diaibkan dan pelbagai lagi. Terlalu besar pengorbanan mereka semua demi dakwah Islam. Semuanya mereka laluinya dengan sabar dan hanya mengharap bantuan dan redha Allah SWT.
Tidak lama selepas itu turunlah wahyu Allah SWT kepada Baginda,
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (2) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (3)
Maksudnya : Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan serta kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat. (Surah An-Nasr 110:1-3)
Dengan turunnya wahyu ini, Baginda mengetahui bahawa sesungguhnya ini adalah satu isyarat Baginda tidak lama lagi akan diwafatkan. Menurut penafsiran Ibnu Abbas dan Umar al Khatab bahawa surah ini merupakan pemberitahuan akan dekatnya kewafatan Rasulullah s.a.w, maka seperti berikut:
“Ketahuilah bahawa apabila Aku bebaskan Mekah untukmu kerana ia adalah kota yang telah mengusirmu dan manusia mulai memasuki agama Allah secara berbondong-bondong, maka sesungguhnya akan Kami selesaikan tugasmu di dunia. Kerana itu bersiap-siaplah kamu untuk datang menghadap Kami, maka negeri akhirat itu lebih baik bagimu daripada dunia. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberimu pahala yang membuatmu merasa puas dengannya.”
Para Sahabat yang paling rapat dengan Baginda iaitu Abu Bakar As Siddiq merasa gembira dengan perkembangan Islam secara meluas mulai merasakan akan kehilangan Baginda apabila turunnya wahyu ini. Namun Baginda tidak sedikit pun menunjukkan rasa sedih bahkan semakin bersemangat mengatur urusan umat Islam di seluruh wilayah Islam. Satu demi satu perintah Allah SWT dilaksanakan dalam undang-undang dan urusan muamalah.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir