Perang Badar (samb)
Seorang Sahabat bernama Khabbab Bin Munzir seorang pakar strategi menemui Rasulullah s.a.w bertanya perihal peperangan dan beliau telah memberikan cadangannya. Beliau bertanya, “wahai Rasulullah, adakah tempat ini pilihan wahyu daripada Allah ataupun ianya strategi peperangan?”
Baginda menjawab, “tidak dari Allah, hanya strategi peperangan sahaja.”
Mendengar jawapan dari Baginda maka, beliau telah mencadangkan agar tentera muslimin bergerak lebih ke hadapan lagi iaitu dekat dengan perigi di sekitar Badar. Beliau mencadangkan semua perigi dikambus dan hanya satu sahaja perigi yang dibiarkan untuk kegunaan mereka kaum muslimin. Apabila berlakunya peperangan pastinya bekalan air menjadi sumber utama untuk minum. Pastinya tentera Quraisy akan kehausan bahkan juga unta dan kuda yang dibawa oleh mereka. Kesukaran mereka untuk mendapat bekalan minuman akan menjejaskan kekuatan ketenteraan mereka.
Apabila Baginda mendengar cadangan Khabbab lantas Baginda bersetuju dan mereka kaum muslimin bergerak dan mula mendirikan khemah di sekitar Badar. Mereka semua membuat persiapan untuk menghadapi musuh di medan pertempuran. Pada malam tersebut Allah telah menurunkan hujan yang lebat menyebabkan kawasan perkhemahan tentera muslimin tanahnya menjadi lebih kejap manakala di tempat perkhemahan Quraisy hujannya lebih lebat sehingga tanahnya berselut dan sukar untuk bergerak. Ini adalah salah satu bantuan Allah kepada tentera muslimin.
Pada malam tersebut iaitu malam Jumaat 17 Ramadhan tahun kedua hijrah semua tentera muslimin tiba-tiba merasai mengantuk yang amat sangat sehingga mereka tertidur dengan nyenyak dalam penuh kerehatan. Mereka bangun malam solat dan bermunajat kepada Allah sebelum peperangan yang bakal di tempuh esok paginya. Peristiwa ini dirakamkan oleh al Quran,
إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنْكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ
Maksudnya : (Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan). (Al Anfal 8:11)
Segala bantuan Allah datang bagi memberi ketenangan dan ketenteraman kepada tentera muslimin untuk berhadapan dengan musuh. Cuaca yang panas disejukkan, air yang sedikit ditambah, keletihan diberikan kerehatan, manakala syaitan gagal mempengaruhi jiwa mereka yang bermunajat kepada Allah pada malam harinya. Seterusnya keyakinan mereka kepada Allah dan Rasul bertambah dan tidak sedikit pun gentar untuk menghadapi bala tentera musyrikin yang jauh lebih besar bilangannya.
Tentera Quraisy menghantar wakilnya meninjau pasukan tentera muslimin dan mereka membuat kesimpulan jumlah tentera muslimin sekitar 300 orang sahaja dan ianya adalah satu peperangan yang mudah sahaja untuk dimenangi.
Masa yang ditunggu telah tiba waktu siang sudah muncul. Alam menjadi saksi atas segala yang akan berlaku. Sejarah peperangan pertama Islam akan dikenang.
Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir