Perang Badar & Para Tawanan
Setelah ketua musyrikin iaitu Abu Jahal kecundang, para tentera beliau lemah dan dengan mudah ditawan oleh tentera muslimin. Antara yang dapat ditawan adalah Abbas Bin Abdul Mutalib. Abdullah Bin Mas’ud yang tubuhnya lebih kecil dan kurus telah berjaya menawan Abbas yang bertubuh besar menyebabkan para Sahabat merasa hairan. Beliau telah membawa Abbas dalam keadaan tangan yang diikat kebelakang tanpa apa-apa bantahan dari Abbas.
Apabila ditanya pula kepada Abbas bagaimana pula beliau boleh mudah menyerah kepada Abdullah Bin Mas’ud. Dijawabnya bahawa ketika Abdullah memegang tangannya beliau merasakan seolah-olah kekuatan tangan Abdullah Bin Mas’ud boleh menghancurkan tangannya.
Baginda Rasulullah s.a.w yang mendengar perbualan ini berkata kepada Abdullah bin Mas’ud,
“Wahai Abdullah, jangan kamu merasa kamu yang kuat. Sebenarnya yang membantu kamu tadi adalah Malaikat. Malaikatlah sebenarnya yang menawan Abbas.”
Kini tentera muslimin sudah mempunyai tawanan perang bagi kali yang pertama. Apakah tindakan yang perlu dikenakan kepada tawanan ini menjadi satu persoalan. Baginda Rasulullah s.a.w telah meminta pendapat dikalangan para Sahabat.
Abu Bakar telah memberikan pendapatnya. “Wahai Rasulullah, tawanan ini pada umumnya, mereka adalah anak-anak saudara dan sanak keluarga serta juga rakan taulan. Pada pendapat hamba kita berikan peluang mereka untuk ditebus, apabila dengan nilai yang kita ambil itu akan menjadi satu kekuatan untuk menentang kuasa kafir. Dan semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada mereka nanti, kelak mereka menjadi kekuatan penyumbang kepada kita.”
Kemudian Rasulullah s.a.w meminta pandangan Umar. “Apa pula pendapat kamu wahai Ibnu al-Khattab?
Jawab Saidina Umar al Khattab. “Pendapat hamba tidak seperti pendapat Abu Bakar, bagiku dalam sangkaan aku tuan hamba tidak akan bertemu dengan musuh tetapi yang aku sangka ialah Kafilah yang membawa barangan perniagaan, kalau aku tahu ianya musuh pasti tidak akan aku lepaskan peluang ini.” (Maksud Umar tawanan ini hendaklah dibunuh)
Jawab Rasulullah, “Ya kata-kata mu itu benar.”
Setelah mendengar pandangan para Sahabat maka Baginda membuat keputusan iaitu bersetuju agar mereka dibebaskan dengan syarat penduduk Mekah membayar tebusan sebagimana cadangan Abu Bakar. Seterusnya tawanan ini dibawa balik ke Madinah. Setibanya di Madinah Baginda membahagikan tawanan perang antara para Sahabat Baginda. Bahkan Baginda ketika membuat pembahagian berpesan supaya bertindak baik terhadap mereka. Para Sahabat mematuhi perintah Rasul sehinggakan pada satu-satu masa para sahabat memakan tamar sedangkan tawanan dilayan dengan baik dan diberi makan roti mematuhi pesanan Rasulullah s.a.w.
Sementara itu berita telah sampai ke Mekah tentang tumpasnya tentera yang dipimpin oleh panglima-panglima Quraisy. Abu Lahab dan Abu Sufyan merupakan golongan paling senior kini yang menguasai Mekah. Mereka terperanjat dan seolah-olah tidak percaya dengan berita yang mereka dengar. Bagaimana mungkin tentera yang 1000 lebih gagal menewaskan tentera muslimin yang berjumlah 313 orang. Bahkah ada pula tawanan perang oleh tentera yang lebih kecil jumlahnya.
Apakah reaksi dan tindak balas kafir Quraisy?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir