Peperangan Khaibar (samb)
Kubu Katibah Ditawan Khaibar Milik Islam
Kubu Katibah ini dipertahankan habis-habisan kerana ianya merupakan benteng terakhir Yahudi Khaibar. Penduduk di sini terdiri dari kelompok Katibah, Wateh dan Salalim yang diketuai oleh Abu al-Haqiq dari Yahudi Bani Nadhir. Tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w menerima arahan agar mengepung kubu ini. Segala peralatan perang dihalakan ke kubu ini termasuk manjanik. Musuh pula bertindak melontar anak-anak panah kepada tentera Islam. Pengepungan berlarutan hingga masuk ke hari yang keempat belas.
Pemimpin Khaibar iaitu Kananah Bin Abu Huqaiq merasa tidak aman dan takut melihat kesungguhan tentera Islam yang sedikit pun tidak terjejas dengan segala serangan dari dalam kubu. Baginda melihat musuh sudah lemah dan tidak keluar untuk menawarkan pertarungan maka Baginda mengarahkan persiapan manjanik untuk dilontarkan bagi merobohkan tembok kubu ini.
Keadaan pemimpin Yahudi semakin cemas melihat persiapan tentera Islam. Lalu sesama mereka berbincang dan mencadangkan agar diadakan perundingan dengan Rasulullah s.a.w. Namun sikap Yahudi tetap sama iaitu cuba mencari helah agar perjanjian itu berat sebelah dan merugikan Islam. Seterusnya mereka mencadangkan agar mereka membayar jizyah (cukai). Baginda sudah menyedari dan kenal sungguh sikap dan sifat Yahudi maka segala cadangan oleh mereka semuanya ditolak oleh Baginda. Tawaran Baginda hanya satu iaitu Baginda yang membuat keputusan dan tiada cadangan dari mereka yang akan dipertimbangkan.
Yahudi Khaibar sudah tidak mempunyai helah dan tiada pilihan melainkan terpaksa akur dengan segala yang diputuskan oleh Baginda. Antara keputusan Baginda adalah;
Semua Yahudi mesti meninggalkan penempatan Khaibar tanpa membawa apa-apa senjata.
Mereka hanya dibenarkan membawa apa boleh sahaja, tanpa membawa harta, emas dan perak.
Mana-mana Yahudi yang menyembunyikan emas dan perak atau cuba membawanya keluar dari Khaibar maka hukumannya adalah mati.
Tawanan perang semuanya dibebaskan oleh Baginda.
Keputusan dan perjanjian Baginda dengan Yahudi Khaibar adalah muktamad dan tiada apa-apa rundingan yang akan dilayan lagi. Akhirnya dengan terpaksa Yahudi Khaibar meninggalkan segala harta dan keluar dari penempatan Khaibar. Kebun-kebun tamar milik mereka hanya mampu dipandang sahaja ketika mereka beredar keluar dari Khaibar. Harta yang mereka sayangi semuanya ditinggalkan. Kini Khaibar dikuasai sepenuhnya oleh tentera muslimin dan kemenangan yang dijanjikan Allah sudah berada dihadapan mereka. Lihat firman Allah dalam al Quran;
أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ أَلَا إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya : Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yunus 10:55)
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir