Sofwan bin Umayyah bin Khalaf, bapanya beliau adalah tuan kepada Bilal bin Rabah semasa di Mekah dahulu. Pada peringkat awalnya beliau tidak mengambil berat tentang dakwah Islam. Beliau tidak turut berperang dalam perang Badar hanya memerhati dari jauh. Namun beliau melihat terbunuhnya bapanya Umayyah bin Khalaf dalam perang Badar. Selepas kematian bapanya beliau memimpin keturunannya dan bermula dari sinilah beliau memusuhi Rasulullah s.a.w.
Sofwan bin Umayyah pernah menawarkan kepada sepupunya Umair bin Wahab ganjaran yang tinggi untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Selanjutnya Umair bin Wahab telah menuju ke Madinah untuk melaksanakan misi membunuh Baginda selepas perang Badar. Setibanya Umair bin Wahab di Madinah beliau telah berdialog dengan Baginda. Beliau merasa hairan bagaimana Baginda tahu kedatangannya untuk membunuh Baginda sedangkan hanya beliau dan Sofwan bin Umayyah sahaja yang mengetahui rahsia ini. Keyakinannya Baginda adalah Rasul dan wahyu dari Allah yang memberitahu rahsia ini menyebabkan beliau mengucap syahadah. Beliau seterusnya mempelajari al-Quran dan tinggal sehingga satu tempoh yang lama di Madinah.
Dalam peperangan Uhud Sofwan bin Umayyah dan Khalid bin al-Walid turut serta memimpin menyerang umat Islam dan api permusuhannya semakin membara terhadap Baginda. Selepas perjanjian Hudaibiyah Khalid bin al-Walid yang telah mengucap syahadah pernah mengajak Sofwan bin Umayyah untuk memeluk Islam tetapi ditolak oleh beliau dengan keras.
Ketika peristiwa Fathul Mekah pula Sofwan bin Umayyah telah bersama Ikrimah bin Abu Jahal menghalang Khalid bin al-Walid dari memasuki Mekah sehinggalah akhirnya jadi pertempuran dan Sofwan bin Umayyah melarikan diri dari Mekah untuk menuju ke Yaman.
Sepupunya Umair bin Wahab telah bertemu Baginda dan meminta keampunan terhadap Sofwan bin Umayyah. Baginda memperkenan permintaan Umair bin Wahab. Mengetahui sikap Sofwan bin Umayyah yang keras dan penuh curiga maka Umair bin Wahab meminta satu tanda kemaafan dari Baginda. Rasulullah s.a.w membuka serbannya dan memberikan kepada Umair bin Wahab sebagai bukti untuk ditunjukkan kepada Sofwan bin Umayyah tentang pengampunan Baginda.
Umair bin Wahab segera menuju ke pelabuhan mencari Sofwan bin Umayyah yang sudah bersiap untuk menaiki kapal menuju ke Yaman. Lalu disampaikan kepadanya berita pengampunan Baginda kepadanya dan ditunjukkan bukti serban Baginda. Akhirnya Sofwan bin Umayyah bersetuju kembali ke Mekah dan bertemu Baginda. Beliau meminta tempoh sehingga dua bulan untuk memikirkan dahulu sama ada mahu menerima Islam atau tidak. Rasulullah s.a.w berbesar hati dengan memberikannya tempoh sehingga empat bulan.
Walaupun belum Islam beliau telah turut serta dalam peperangan Hunain. Baginda telah meminjam 100 helai baju besi dari beliau untuk peperangan tersebut. Apabila tamat perang Baginda membahagikan harta rampasan perang kepada kaum muslimin. Namun ketika itu Sofwan bin Umayyah masih belum Islam. Beliau pula telah memberikan pinjaman baju besinya untuk misi peperangan tersebut dan ada kerosakan terhadap baju besi yang telah digunakan oleh tentera muslimin.
Rasulullah s.a.w melihat Sofwan bin Umayyah lalu ditunjukkan Baginda ratusan unta yang berada di satu lembah dan memberikannya kepada beliau semuanya sebagai harta dan gantirugi baju besi yang rosak. Sofwan bin Umayyah terperanjat dengan pemberian ini. Disebut dalam hadis kata-kata Sofwan bin Umayyah,
“Demi Allah, pada waktu Muhammad memberikan harta kepada aku untuk pertama kalinya, aku masih membenci Muhammad. Tetapi, semakin hari kebencianku mulai terkikis kerana Muhammad memberikan harta kepadaku secara terus menerus walaupun aku masih menyimpan dendam kepadanya. Dan sekarang aku semakin mencintainya.”
Belum tamat tempoh empat bulan yang diberikan kepadanya akhirnya Sofwan bin Umayyah masuk Islam. Tindakan ini merupakan satu kegembiraan buat isterinya yang telah lebih awal memeluk Islam. Selepas keislamannya beliau kekal tinggal di Mekah dan banyak berkorban untuk dakwah Islam serta menjaga kota suci Mekah. Sofwan bin Umayyah wafat pada awal pemerintahan Muawiyyah.
Ust. Sabir