Miqyas bin Subabah, beliau bersaudara dengan Hisyam bin Subabah. Ketika satu peperangan Dzu Qarad seorang Ansar telah tersilap membunuh Hisyam bin Subabah. Selepas peristiwa itu Miqyas bin Subabah telah pergi ke Madinah dan masuk Islam serta tinggal di Madinah. Beliau telah mengadu hal pembunuhan saudaranya itu kepada Rasulullah s.a.w serta meminta pembayaran diyat (gantirugi atas kematian). Baginda memenuhi permintaan beliau tersebut.
Namun beliau sebenarnya masih berdendam dan mahu membunuh lelaki Ansar yang telah membunuh saudaranya. Tindakan ini pastinya tidak betul kerana bayaran diyat telah pun diberikan kepadanya. Beliau tetap dengan niatnya lalu beliau membunuh lelaki Ansar tersebut kemudian melarikan diri ke Mekah. Apabila di Mekah belaiu kemudiannya mengistiharkan keluar dari Islam (murtad).
Semasa di Mekah beliau memusuhi dan mempersendakan Islam. Baginda memerintahkan hukuman bunuh ke atas beliau. Ketika berlakunya pembukaan kota Mekah oleh Rasulullah s.a.w beliau telah melarikan diri dan bersembunyi. Semasa beliau sedang leka sedang minum minuman keras seorang sahabat bernama Numailah bin Abdullah menghampirinya dan membunuhnya dengan pedang.
Huwairits bin Nafidz bin Wahab, beliau berketurunan Quraisy dan merupakan seorang penyair yang terkenal di Mekah. Beliau seorang yang sangat membenci Islam dari awal dakwah Baginda lagi. Satu hari ketika Abbas bin Abdul Mutalib bersama Fatimah binti Muhammad dan Ummi Kalthum binti Muhammad hendak bermusafir ke Madinah dengan unta, beliau telah melontar lembing kepada unta yang ditunggang oleh Fatimah binti Muhammad. Akibatnya unta tersebut melompat kesakitan menyebabkan Fatimah binti Muhammad jatuh dari unta tersebut. Baginda menjatuhkan hukuman mati kepadanya dan hukuman itu dilaksanakan oleh Ali bin Abi Talib.
Abdullah bin Khatal, nama asalnya sebelum memeluk Islam adalah Abdul Uzza. Baginda melantiknya sebagai amil untuk memungut zakat. Beliau telah keluar untuk memungut zakat bersama seorang Ansar yang merupakan bekas seorang hamba yang muslim. Beliau telah mengarahkan bekas hamba ini untuk memasak makanan ketika mereka beristirehat. Namun bekas hamba ini tertidur kemudiannya beliau telah memukul sehingga mati bekas hamba tersebut.
Beliau kemudian lari ke Mekah dan keluar dari Islam serta bersama dengan golongan yang menghina Islam. Setelah pembukaan kota Mekah beliau lari dan berpaut pada kelambu Kaabah. Baginda mengarahkan beliau dibunuh. Dua orang sahabat iaitu Sa-id bin Harith al-Makhzumi dan Abu Barzh al-Aslami menjalankan hukuman bunuh keatasnya.
Sebenarnya mereka yang dihukum bunuh telah mendapat peluang untuk meminta maaf kepada Baginda namun mereka tidak mengendahkan apa yang telah ditawarkan.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust Sabir